Sarawak Jana RM23.17 Bilion Pelaburan 2020 – 2021

KHAMIS, 1 DISEMBER 2022

KUCHING: Sarawak berjaya menarik jumlah pelaburan untuk projek pembuatan bernilai RM23.17 bilion dengan RM16.08 bilion diluluskan pada 2020 dan RM7.09 bilion pada 2021.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata dari Januari hingga Jun 2022, Sarawak telah meluluskan sebanyak RM2.26 bilion jumlah pelaburan bagi sektor pembuatan untuk 28 projek, di mana RM1.02 bilion telah diluluskan di bawah Akta Penyelarasan Perindustrian 1975 (ICA) dan RM1.24 bilion diluluskan di bawah Jawatankuasa Penyelarasan Perindustrian Negeri (ICC).

Katanya, angka pelaburan ini tidak termasuk pelaburan dari sektor lain seperti perlombongan, pertanian, hartanah, pelancongan dan lain-lain lagi.

“Tiga projek yang diluluskan pelaburan di bawah ICA adalah Produk elektrik dan elektronik (substrat untuk cakera keras) – RM1 bilion; Produk galian bukan logam (produk kaca) – RM10 juta; dan Produk peralatan pengangkutan (kapal tunda) – RM9 juta.

“Baki 25 projek yang diluluskan di bawah ICC terutamanya dalam Produk elektrik dan elektronik (solar jongkong & wafer) – RM1.128 bilion; Produk minuman (air minuman dalam botol) – RM50.9 juta; Produk makanan (makanan diproses) – RM19.3 juta dan Perkhidmatan (pergudangan, logistik & perkhidmatan kejuruteraan) – RM18.2 juta.

“Pelaburan ini dijangka mewujudkan kira-kira 2,500 peluang pekerjaan,” katanya dalam ucapan penggulungan Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri & Pelaburan Sarawak (MINTRED) semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Khamis.

Menjelas lanjut, beliau yang juga Menteri MINTRED berkata Kementeriannya juga telah menerima permohonan untuk 46 projek dengan jumlah pelaburan yang dicadangkan berjumlah RM41.9 bilion.

Katanya, ini termasuk RM35.45 bilion untuk projek pelaburan baharu dalam keluli hijau, produk kimia dan pelbagai lagi manakala RM6.47 bilion adalah untuk projek pelaburan semula oleh pelabur sedia ada di Taman Perindustrian Sama Jaya dan Taman Perindustrian Samalaju untuk cip wafer silikon, kerajang tembaga dan jongkong solar dan wafer.

Tambah beliau, Taman Perindustrian Sama Jaya merekodkan jumlah eksport RM7.14 bilion dari Januari hingga Oktober 2022 berbanding RM7.02 bilion bagi tahun 2021.

Manakala Taman Perindustrian Samalaju pula merekodkan jumlah eksport RM15.2 bilion pada 2022 berbanding RM13.9 bilion bagi tahun 2021.

Menyentuh perkembangan lain, beliau berkata Kerajaan Sarawak melalui MINTRED akan terus menyediakan pinjaman mudah pada kadar faedah rendah 4 peratus berdasarkan baki pengurangan bulanan melalui Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS) dan Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS).

“Sehingga kini, sejumlah RM76.06 juta telah diagihkan memanfaatkan 1,965 PKS. Ini termasuk 437 usahawan B40 yang menikmati pinjaman tanpa faedah sehingga maksimum RM10,000 bagi setiap pemohon. Jumlah pinjaman diluluskan untuk usahawan B40 berjumlah RM2.8 juta.

“Semasa pandemik Covid-19, Kerajaan Sarawak telah menyediakan subsidi faedah selama tiga tahun setengah kepada PKS yang layak di bawah SKMS dan SPIKS. Subsidi tersebut, berjumlah RM6.48 juta, telah memanfaatkan 1,387 PKS,” tambah beliau. – EDISI UKAS

add comment