Sarawak Komited Berikan Sokongan & Bantuan Dalam Pembangunan Pemain Golf Remaja Tempatan

KHAMIS, 1 NOVEMBER 2022

KUCHING: Permainan golf bukan lagi permainan untuk golongan elit atasan sebaliknya dimainkan semua lapisan masyarakat. 

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, ramai pemain muda tempatan telah bertanding di pertandingan golf antarabangsa dan sebahagian daripada mereka juga telah menjadi pemain golf profesional yang memperoleh pendapatan lumayan.

“Hari ini, golf bukan lagi salah satu permainan tetapi ia telah menjadi salah satu kerjaya sukan profesional dan juga menguntungkan. 

“Kita boleh lihat dalam media massa tentang berapa banyak yang boleh diperoleh oleh pemain golf profesional di seluruh dunia dengan kemenangan mereka, tawaran penajaan, pengesahan produk dan senarai itu diteruskan,” katanya menerusi teks Ucapan yang dibacakan Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I (Pelancongan) Dato Sebastian Ting Chiew Yew dalam merasmikan Penutupan dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa Sarawak Ke-22 Piala Premier Sarawak 2022 di Eastwood Valley Golf & Country Club, Miri pada Khamis. 

Tambah Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari lagi, menyedari pentingnya program pembangunan golf junior ini, Kerajaan Sarawak komited memberikan sokongan dan bantuan penuh dalam pembangunan pemain golf remaja khususnya melalui penganjuran Piala Perdana Sarawak dalam Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa Sarawak tahunan oleh Persatuan Golf Sarawak.

Pada kejohanan itu, Joaquin Ethan Hernandez dari Filipina muncul juara bagi kategori lelaki dan Chulathida Seema dari Thailand muncul juara bagi kategori wanita. 

Hadiah kepada para pemenang telah disampaikan Dato Sebastian Ting yang mewakili Premier Sarawak. 

Hadir sama Presiden Persatuan Golf Sarawak (SGA) Hoan Kee Hock.-EDISI UKAS

add comment