KHAMIS, 1 DISEMBER 2022
KUCHING: Sarawak menjadi wilayah pertama di Malaysia menggubal undang-undang bagi mengawal selia aktiviti karbon di wilayahnya melalui sektor tanah dan perhutanan.
Ia terkandung dalam pindaan Land Code dan Forests Ordinance yang masing-masingnya diluluskan semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada 18 dan 19 Mei 2022.
Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Sarawak mempunyai keluasan hutan yang tertinggi berbanding wilayah-wilayah lain di Malaysia.
“Hutan-hutan ini turut diurus dengan baik serta mengamalkan pengurusan hutan secara mampan dan mampu berfungsi sebagai habitat semula jadi flora dan fauna, kawasan tadahan air, carbon sinks serta menyumbang kepada kestabilan iklim dunia.
“Selain itu, inisiatif perdagangan karbon merupakan aspirasi kerajaan Sarawak untuk memperkukuhkan sumber pendapatan baharu melalui pengurusan hutan berteraskan tonggak utama iaitu kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar sejajar dengan PCDS 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Ucapan Penggulungan Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II semasa hari terakhir Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Khamis.
Jelasnya lagi, nilai sumber hutan dan penjanaan hasil melalui aktiviti ekonomi hijau mampu dipertingkatkan dengan pelaksanaan program kredit karbon yang menjurus kepada pengawalan iklim dunia berdasarkan Article 6 Paris Agreement.
“Dalam perjanjian ini, Malaysia juga turut terlibat menjayakannya,” ujarnya.-EDISI UKAS