PPNS Berkolaborasi Dengan Syarikat Swasta Kendali CPPC Limbang & Lawas

UKAS  > Edisi-Selatan >  PPNS Berkolaborasi Dengan Syarikat Swasta Kendali CPPC Limbang & Lawas
0 Comments

JUMAAT, 2 DISEMBER 2022

KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) berkolaborasi dengan sebuah syarikat swasta untuk mengendalikan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) Limbang dan Lawas.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Pengerusi PPNS, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, projek usahasama berkenaan merupakan salah satu langkah yang akan menyumbang kepada kemajuan industri pertanian dan agromakanan di Sarawak.

Jelasnya, ia juga selaras dengan aspirasi Pelan Pembangunan Pasca Covid (PCDS) 2030 dan menjadikan Sarawak sebagai pengeksport makanan bersih menjelang 2030.

“PPNS bekerjasama dengan Biolazat Holdings Sdn Bhd dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Limbang serta Lawas bagi menubuhkan Peladang Biolazat Food Sdn Bhd untuk mengendalikan CPPC Limbang dan Lawas.

“CPPC di Lawas dan Limbang yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada awal 2023 ini berperanan membantu dalam pemprosesan dan pemasaran bagi meningkatkan eksport produk pertanian dan agromakanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama antara PPNS & Biolazat Holdings bagi pengendalian CPPC Limbang & Lawas di sini pada Jumaat.

Datuk Dr Abdul Rahman menambah, projek usahasama tersebut adalah yang ke-5 PPNS bersama syarikat swasta di mana sebelum ini PPNS telahpun menjalinkan kerjasama dengan beberapa syarikat swasta bagi pembangunan ternakan ikan tilapia, pengeluaran udang, pengeluaran kerbau dan produk tenusu.

Ujarnya, kolaborasi ini diharap dapat membantu meningkatkan taraf hidup dan sosioekonomi masyarat setempat melalui peluang pekerjaan yang bakal ditawarkan termasuk menyediakan kemudahan kepada petani mengusahakan produk dan hasil tanaman mereka.

Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) merangkap Wakil Pendaftar PPNS, Datu Edwin Abit dan Ketua Pegawai Eksekutif Biolazat Holdings Sdn Bhd, Dr. Raja Imran Shah. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *