Dato Sri Alexander Ikrar Pikul Amanah Sebagai Menteri KKR Baharu

SABTU, 3 DISEMBER 2022

KUCHING: Menteri Kerja Raya baharu, Dato Sri Alexander Nanta Linggi beriltizam akan memberikan sepenuh komitmen dan usaha dalam memastikan kelancaran perancangan pentadbiran negara walaupun menyedari tanggungjawab ini datang dengan cabaran yang besar.

Katanya, pelantikan ini adalah amanah dan tanggungjawab yang amat penting dalam membantu usaha Kerajaan Perpaduan meneruskan usaha pemulihan ekonomi negara, lebih-lebih lagi menjelang tahun 2023 yang dijangka amat mencabar.

Beliau juga memberi jaminan akan meneruskan polisi-polisi Kementerian terdahulu yang terbukti berkesan di samping menambah baik dasar-dasar Kementerian yang boleh membawa manfaat kepada rakyat dan negara.

“Saya juga akan terus menghormati peranan penjawat awam dari semua lapisan Kementerian yang telah banyak menyumbang idea dan tenaga kepada Kementerian ini. Kita akan terus bekerja bersama sebagai satu pasukan demi negara tercinta.

“Saya juga ingin menegaskan saya adalah ‘minister for all, not just for Sarawakians’. Maka dengan itu, saya akan memastikan setiap usaha dan inisiatif yang diambil di bawah Kementerian ini akan membawa kebaikan kepada seluruh rakyat Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan susulan pengumuman barisan Kabinet Persekutuan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.

Beliau juga berharap barisan kabinet baharu dapat terus bergerak ke hadapan dan memberikan fokus dalam usaha memulihkan negara, terutamanya dari sudut ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Selain itu, beliau menyeru semua agar mengenepikan segala perbezaan dan bersama-sama memberi tumpuan kepada usaha untuk membangunkan semula negara agar ia kembali ke landasan yang tepat dalam untuk kembali disegani di mata dunia.

“Saya ingin menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim di atas pelantikan saya sebagai Menteri Kerja Raya di dalam barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan.

“Tidak dilupakan, terima kasih juga kepada Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg, yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerana masih memberi kepercayaan kepada saya untuk mewakili parti dan negeri berkhidmat di peringkat Persekutuan sekali lagi,” tambahnya. – EDISI UKAS

add comment