Dato Sri Nancy Sedia Pikul Amanah Sebagai Menteri KPWK

SABTU, 3 DISEMBER 2022

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia, Dato Sri Nancy Shukri mengucapkan rasa syukur atas pelantikannya mengetuai kementerian baharu tersebut.

Dalam satu kenyataan media pada Sabtu, beliau turut menzahirkan terima kasih kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah, atas perkenan Baginda yang membawa kepada penubuhan Kerajaan Perpaduan demi kestabilan politik dan ketenteraman rakyat Malaysia. 

Selain itu, beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan memilihnya untuk menggalas jawatan tersebut agar dapat terus berkhidmat kepada rakyat.

“Kemenangan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) juga merupakan berkat kepercayaan daripada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, selaku Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta seluruh kepimpinan parti dan aspirasi rakyat Sarawak,” ujar beliau.

Tambahnya, tidak dilupakan juga sokongan daripada ahli-ahli keluarga yang sentiasa bersama menyokong pada setiap masa serta seluruh warga dan kakitangan Kerajaan yang sentiasa komited bertugas demi melaksanakan amanah rakyat.

“Pelantikan ini merupakan satu tanggungjawab dan amanah besar yang akan saya pikul sebagai cabaran untuk terus berbakti kepada masyarakat dan negara. 

“Pengalaman dan hubungan baik bersama ahi-ahli Jemaah Menteri merentasi fahaman politik akan dimanfaatkan sebaiknya untuk terus menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara di samping kerjasama seluruh warga Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya. – EDISI UKAS

add comment