160 Penduduk DUN Tebedu Terima Input Pertanian, 54 Terima Insentif Pelajar Cemerlang

SABTU, 3 DISEMBER 2022

TEBEDU: Seramai 160 penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebedu menerima Bantuan Input Pertanian yang terakhir bagi tahun 2022 sempena Program Agriculture Facilitation Fund (AFF) dikendalikan oleh Pejabat Pertanian Bahagian Serian pada Jumaat.

Penyerahan telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu Dr. Simon Sinang Bada bertempat di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Tebedu.

Menurut Dr. Simon, bantuan tersebut merangkumi input racun dan baja dengan nilai kos sebanyak RM147,489.85.

“Saya berharap, bantuan baja dan racun ini mampu mengurangkan sedikit bebanan para petani serta pekebun lada dan kelapa sawit,” katanya semasa berucap.

Selain bantuan input pertanian, beliau turut menyampaikan Bantuan Insentif Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) kepada 54 pelajar di kawasan itu bagi tahun 2021, menjadikan keseluruhan nilai insentif yang diserahkan pada hari itu sebanyak RM27,000.

Dalam masa sama, pelajar genius dari Sekolah Kebangsaan (SK) Krusen, Patriscia Ellyana Jerom yang akan melanjutkan pelajaran di Sekolah Permata Pintar Malaysia telah menerima sebuah komputer riba.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Serian (MDS) Asem Linkin, Bekas Setiausaha Politik John David Nyauh, Pegawai Pertanian Bahagian Serian Heidylia Joshua, Penolong Pegawai Pertanian Atai Nyuleng serta wakil Pegawai Daerah Tebedu Farira Abdul Khalik Samat.-Edisi UKAS

add comment