Miri Dan Serian Rebut Kejuaraan Final Liga Bola Sepak Bawah 20 Tahun SSC/FAS 2022

SABTU, 3 DISEMBER 2022

KUCHING: Pasukan Miri FA dan Serian FA akan membuat perhitungan terakhir petang ini di Stadium Negeri, Petra Jaya bagi menentukan siapa yang layak menjuang trofi Liga Bola Sepak Bawah 20 Tahun SSC/FAS 2022.

Di atas kertas, kedua-duanya memiliki kelebihan masing-masing namun pengendali Miri FA, Mohd Hakimi Man sudah menyedia pelan khas untuk anak-anak buahnya bagi menjinakkan lawan.

Justeru tegasnya, penting untuk anak-anak buahnya mengikut perancangan yang telah diatur.

“Kita cukup bersedia untuk mengharungi perlawanan akhir petang ini.

“Misi untuk kami mencipta kejutan dan saya mengharap pelan yang akan diguna pakai menjadi,” ujar Hakimi dalam sidang media selepas selesai majlis penyerahan piala tajaan Lea Sports Centre (LSC) di pusat beli belah Sarawak Plaza pada Jumaat.

Sementara itu, Pengurus Serian FA, Md. Haical Abdullah mengakui, jentera pasukan dikendalian Rockefller Sulau (ketua juruatih) juga bersedia untuk berdepan Miri FA.

Menurut Haical, kemenangan 2-1 diperoleh Serian FA ke atas Miri FA dalam aksi peringkat kumpulan sebelum ini tidak boleh dijadikan kayu pengukur untuk mereka bersikap terlalu yakin.

“Aksi petang ini ibarat perlawanan ulangan. Walaupun, kami berjaya mengatasi Miri FA sebelum ini, saya percaya aksi petang esok (Sabtu) amat berbeza,” tambah Haical.

Malah beliau beliau percaya Miri FA akan bermain dengan corak permainan berbeza dalam usaha mereka membalas dendam berikutan kekalahan dialami tempoh hari.

Perlawanan kedua pasukan itu dijadual bermula pada jam 4.15 petang.

Terdahulu, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Awang Madehi Awang Yatim dalam sidasng media semasa majlis penyerahan piala berkata penganjuran kejohanan itu bertujuan mencungkil bakat-bakat baru pemain bola sepak tempatan untuk diketengahkan mewakili kelab-kelab di kejohanan yang dianjurkan di peringkat negeri terutama di liga-liga Malaysia.

“Kejohanan ini juga menjadi medan bagi pemain-pemain muda menimba pengalaman, meningkatkan prestasi dan bermain dalam pertandingan kompetitif di tahap lebih tinggi.

“Pada masa sama, penganjuran kejohanan ini juga bagi merancakkan bola sepak tempatan agar dapat melahirkan pemain-pemain yang berpotensi,” katanya.

Turut hadir dalam sesi ringkas penyerahan tajaan ialah Pengurus Kanan LSC Alice Kho, Pengurus Sarawak Plaza Alan Po, wakil Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) Dedia Sarini Ahmad Osman serta Pengurus Teknikal Jurulatih FAS Nicol Agoi. – EDISI UKAS

add comment