JUMAAT, 2 NOVEMBER 2022
KUCHING: Ahli Parlimen Petra Jaya, Dato Sri Fadillah Yusof menyifatkan pelantikannya sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Perladangan Dan Komoditi dalam kabinet Kerajaan Perpaduan sebagai pengiktirafan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan blok Borneo iaitu Sarawak dan Sabah.
Tegas Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu, ia satu tanggungjawab besar yang perlu digalas dengan istiqamah, ikhlas dan jujur demi kestabilan politik, ekonomi dan kemakmuran negara.
“Jawatan ini bukan untuk dibanggakan tetapi ia adalah amanah rakyat dan negara yang harus dipikul sebaik mungkin.
“Insya Allah saya akan memikul amanah dan tanggungjawab yang diberikan ini berpaksikan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang mahukan kita memberikan keutamaan, komitmen yang tinggi dan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat demi Malaysia yang lebih stabil dan makmur.
“Semoga kita tanpa mengira bangsa, agama dan merentasi fahaman politik dapat bersama-sama membina Malaysia yang stabil, maju dan makmur berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara,” katanya dalam satu kenyataan selepas pengumuman barisan Kabinet Persekutuan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.
Dato Sri Fadillah turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Anwar di atas pelantikan sebagai Perdana Menteri ke-10 dan kepercayaan diberikan kepadanya untuk menjalankan amanah ini demi Negara.
Beliau juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg selaku Pengerusi GPS serta seluruh kepimpinan parti, Ahli-Ahli Parlimen Sarawak, ahli-ahli parti dan rakyat Sarawak di atas kepercayaan yang diberi.
Dato Sri Fadillah mempunyai pengalaman luas dalam kabinet persekutuan di mana beliau mula diberi kepercayaan sebagai Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi pada di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2008.
Pada 2013, beliau dinaikkan pangkat sebagai Menteri Kerja Raya dalam kabinet Datuk Seri Najib Razak dan terus diberi kepercayaan memimpin kementerian sama di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau kemudiannya dilantik sebagai Menteri Kanan Kerja Raya dalam Kabinet Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 30 Ogos tahun lalu.
Selain Dato Sri Fadillah, empat lagi Ahli Parlimen dari Sarawak turut dilantik sebagai menteri penuh iaitu Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (Menteri Kerja Raya), Dato Sri Nancy Shukri (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat), Datuk Seri Tiong King Sing (Menteri Pelancongan) dan Datuk Aaron Ago Dagang (Menteri Perpaduan Negara). – EDISI UKAS