Pertandingan Miss Tourism International Ke-25 Lakar Pengalaman Persahabatan Antarabangsa

SABTU, 3 DISEMBER 2022

KUCHING: Pertandingan Akhir Dunia Ratu Cantik Pelancongan Antarabangsa (Miss Tourism International) ke-25 2022/2023 yang berlangsung dengan jayanya pada 25 November lepas di Raia Hotel & Convention Centre di sini melakar pengalaman persahabatan antarabangsa yang terindah.

Pengerusi YAST Group selaku Pengerusi Patu kenyataan menyatakan ucapan terima kasih beliau kepada Pengasas D’Touch International merangkap Pengerusi Pengelola Tan Sri Datuk Danny Ooi di atas kepercayaan yang diberikan termasuk semua pihak yang banyak membantu menjayakan program selama 18 hari di Sarawak.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Sarawak, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datu Dr. Sabariah Putit, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datu Hii Chang Kee, rakan kongsi rasmi, media rasmi, dan penaja atas sokongan padu dalam mempromosikan acara pertandingan antarabangsa yang berjaya berlangsung dengan lancar ini.

“Menerusi acara ini, para peserta dari negara yang mengambil bahagian giat mempromosikan pelancongan, kebudayaan dan persahabatan selaras dengan tema acara,” katanya.

Seramai 40 ratu cantik dari pelbagai negara menyertai pertandingan akhir dunia tersebut iaitu dari Argentina, Australia, Bolivia, Brazil, Burundi, Kemboja, Cameroon, Kanada, Mesir, Ethiopia, Finland, Perancis, Jerman, Indonesia, Jepun, Kazakhstan, Kenya, Korea Selatan, Kyrgyzstan, Madagascar, Mexico, New Zealand, Nigeria, Filipina, Poland, Portugal, Rusia, Serbia, Singapura, Afrika Selatan, Sri Lanka, Sweden, Thailand, Turki, Uganda, Ukraine, Amerika Syarikat, Venezuela, Vietnam dan Malaysia.

Sejak 11 hingga 28 November 2022, mereka telah mengambil bahagian dalam beberapa siri aktiviti promosi yang dirancang rapi oleh jawatankuasa penganjur sebelum acara kemuncak, yang mana pelbagai tempat tarikan di Sarawak termasuk pengeluar produk tempatan dan pusat membeli-belah telah dilawati.

Keputusan rasmi bagi pertandingan itu berjaya mendapat perhatian antarabangsa apabila Mirama Suphatra Kliangprom, 24, dari Thailand dinobatkan sebagai Ratu Cantik Pelancongan Antarabangsa (Miss Tourism International) ke-25.

Selain itu, terdapat enam pemenang turut dimahkotakan dengan gelaran khas masing-masing termasuk Phoebe Ong Yi Huui dari Malaysia yang memenangi gelaran Duta Pelancongan Asia Tenggara (Miss South East Asia Tourism Ambassadress) -Edisi UKAS 

add comment