Suk Bowlers Johan Liga Trio 175 & Below

SABTU, 3 DISEMBER 2022

KUCHING: Selepas berentap sengit selama 15 minggu, Suk Bowlers mengesahkan kejuaraan Liga Trio 175 & Below selepas aksi positioning round pada minggu ini yang berlangsung di Megalanes Sarawak, Batu Kawa.

Meskipun tewas kepada YS A 5-15 dalam perlawanan tersebut, Suk Bowlers kekal teratas dalam aksi 16 pasukan setelah mengumpul 543.51 mata Peterson secara keseluruhan.

Kemenangan itu pula menghadiahkan kedudukan kedua buat YS A dengan kutipan 531.00 mata Peterson manakala Unlimited Strikers di tempat ketiga selepas menjinakkan X Hunter 11-9 untuk mengumpul 514.63 mata Peterson.

X Hunter pula menghuni tangga keempat sambil Dynamic X di kedudukan kelima selepas menundukkan Namana Bowlers yang jatuh ke kedudukan ketujuh dengan 15-5 sekali gus mengumpul 512.05 mata Peterson.

Di tempat keenam Red Ox yang menang 17-3 ke atas Selepa Putus 175 untuk mengumpul 510.03 mata Peterson manakala lawannya berpuas hati di kedudukan kesembilan.

Nasib berbeza pula dialami Fortune Strikes apabila berjaya menduduki tempat kelapan selepas menpumpul 499.54 mata Peterson hasil kemenangan 15-5 ke atas Gruner Korper yang menduduki tempat ke-10.

Bravo Bowlers pula menduduki tempat ke-11 dengan mengatasi Medixx Squad (11-9) dan meraih 480.26 mata Peterson.

Manakala Gai Bowlers dan X Pocket kekal di kedudukan ke-13 dan 14 meskipun X Pocket berjaya menang dengan 14-6 dan mengumpul 467.21 mata Peterson.

YS B dan Empire X juga kekal di kedudukan ke-15 dan ke-16 sekalipun kedua pasukan terikat 10-10 dalam aksi terakhir.

Bagaimanapun, nasib lebih memihak YS B yang meraih 31.20 dari aksi tersebut untuk mengumpul 447.78 mata Peterson secara keseluruhan.

Dalam pada itu, persembahan cemerlang pemain YS A, Wan Othman Shah Wan Putera membolehkan beliau memenangi anugerah Pemain Terbaik Senior dalam kategori Scratch dan Handicap setelah melakukan 772 dan 868 jatuhan pin. – EDISI UKAS

add comment