AIM Main Peranan Pertingkat Pendapatan Masyarakat Setempat

AHAD, 4 DISEMBER 2022

TEBEDU: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) memainkan peranan penting bagi meningkatkan pendapatan masyarakat setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr. Simon Sinang Bada berkata, pihak AIM akan memberikan bimbingan kepada ahli untuk menjadi usahawan kecil termasuk memberi pinjaman dengan kadar faedah serendah 1.5 peratus hingga 4 peratus setahun.

Selain itu jelasnya, penubuhan AIM bertujuan mengurangkan kemiskinan di Malaysia melalui pengeluaran pembiayaan ikhtiar kepada penduduk miskin di luar bandar untuk menambahkan pendapatan.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Pusat Saan Bersatu di Kampung Tema Saan pada Jumaat.

Sementara itu. Dr. Simon menyeru AIM Bahagian Serian untuk mengembangkan peranan ke seluruh kampung di kawasan Tebedu.

Dalam program sama, beliau telah meluluskan permohonan untuk menaiktaraf jalan ke tanah perkuburan, pemasangan selusur bagi jalan utama keluar masuk Kampung Saan dan membina bangunan gereja yang akan dilaksanakan pada tahun depan. -EDISI UKAS

add comment