Balai Pemanca Dipa Beri Manfaat Kepada Penduduk Kampung Mantung Mara-u

AHAD, 4 DISEMBER 2022

SERIAN: Penduduk tempatan telah mampu memanfaatkan kemudahan-kemudahan baharu yang disediakan di Balai Pemanca Dipa, Kampung Mantung Mara-u di sini setelah projek membaik pulih balai raya tersebut siap pada April lepas.

Difahamkan, projek tersebut dilaksanakan dengan peruntukan sejumlah RM320,000 di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) tahun 2020 di mana ia dilengkapi dengan bilik gerakan, gelanggang badminton serta tandas.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Martin Ben menzahirkan ucapan tahniah kepada pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta penduduk Kampung Mantung Mara-u yang bekerjasama untuk merancang pembangunan demi kemudahan dan kesejahteraan masyarakat setempat yang telah banyak dicapai hingga masa kini.  

“Sejak menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup pada tahun 2016, saya telah memperuntukkan RM1.3 juta kepada kampung ini bagi membina kemudahan asas seperti dewan, gereja, jalan kampung, jalan pertanian, perparitan serta peruntukan dana untuk mengurus dan mengadakan sebarang aktiviti kampung,” katanya ketika merasmikan balai raya tersebut pada Sabtu.

Sementara itu, Martin menggesa penduduk tempatan agar memberikan usaha terbaik dalam bidang-bidang yang diceburi khususnya aktiviti pertanian dan penternakan yang giat dilakukan di kawasan DUN Kedup.

“Dengan adanya pelbagai kemudahan dan inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan, maka penduduk harus berusaha memanfaatkan peluang tersebut untuk mendapat bantuan kepakaran serta kaedah moden, sekaligus memperoleh pulangan yang lebih tinggi pada masa depan,” jelasnya.

Pada majlis sama, ADUN Kedup itu telah mengumumkan peruntukan tahun 2023 sebanyak RM5,000 masing-masing kepada JKKK, Biro Wanita dan Belia Kampung Mantung Mara-u untuk pengurusan dan pelaksanaan sebarang aktiviti.

Hadir sama ialah Pegawai Daerah Serian, Lim Hock Meng, Setiausaha Majlis Daerah Serian, Constantine Gerald David Jonas, Ketua Bahagian Pembangunan Peserta SALCRA, Henry Daris, ahli Majlis Daerah Serian, Kaunselor Leong Pit Wee dan Ketua Kaum Kampung Mantung Mara-u, Stephen Juwe. -Edisi UKAS

add comment