Manfaatkan Geran MRP Untuk Perkasa Komuniti Setempat

AHAD, 4 DISEMBER 2022

SEBUYAU: Penerima geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) diseru agar memanfaatkan peruntukan tersebut dengan sewajarnya.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi memberitahu, geran tersebut boleh digunakan untuk memperkasakan komuniti setempat.

“Dengan adanya sumbangan geran sebegini, ia perlu digunakan dengan sebaik mungkin bagi menjalankan sebarang aktiviti atau program kebajikan yang bersesuaian di kampung masing-masing,” katanya ketika menyempurnakan sebuah majlis penyampaian geran di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebuyau, Kampung Sampat Sebangan di sini pada Ahad.

Pada majlis itu, Datuk Julaihi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau telah menyampaikan geran MRP berjumlah RM364,000 kepada 35 penerima yang terdiri daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), masjid dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari sekitar kawasan DUN Sebuyau.

Beliau turut berkesempatan memperkenalkan Pegawai Tadbir Sarawak Sebuyau baharu, Tahir Putih yang telah mula bertugas di Pejabat Daerah Sebuyau pada 1 Disember lepas.

Turut hadir, Penghulu Masyarakat Iban Kawasan Sebangan, Merum Babu, Penghulu Masyarakat Melayu Kawasan Sebuyau, Abu Seman dan Ketua Masyarakat Kampung Sampat Sebangan, Martasan Bujang. -Edisi UKAS

add comment