Sarawak Cadang Tubuh Tabung Amanah Untuk Dana Pembangunan Daripada Kerajaan Persekutuan

AHAD, 4 DISEMBER 2022

KUCHING: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bersetuju secara prinsip untuk meneliti kaedah baharu berkaitan pelaksanaan projek-projek pembangunan di Sarawak yang melibatkan peruntukan dana daripada Kerajaan Persekutuan. 

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, ini setelah beliau mencadangkan kepada Datuk Seri Anwar agar satu tabung amanah (trust fund) ditubuhkan di mana peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan pusat akan diletakkan di bawah tabung amanah itu. 

“Bermakna, kalau Sarawak menerima RM4 bilion daripada kerajaan pusat sebagai dana pembangunan, maka RM4 bilion itu akan diletakkan di bawah tabung amanah ini.  

“Pelaksanaan tabung amanah ini, kalau boleh, ditentukan di Sarawak dengan seliaan Kementerian Kewangan Malaysia. 

“Ini adalah satu pendekatan yang baharu, tetapi rangka kerja itu akan ditentukan oleh jawatankuasa di antara Kementerian Kewangan dan juga di bawah seliaan Perdana Menteri sendiri,” jelasnya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Dewan Badminton Sarawak Badminton Association (SBA) bersempena Kejohanan Remaja Piala Abang Jo di Lorong Lapangan Terbang 1, Kuching pada Ahad.

Sementara itu, Premier Sarawak menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas pelantikan lima Menteri termasuk seorang Timbalan Perdana Menteri daripada Sarawak dalam Kabinet Malaysia.

“Ini menunjukkan keprihatinan Kerajaan Persekutuan mengenai pembangunan politik di seluruh negara di mana Menteri-Menteri telah dilantik dari Sarawak dan Sabah,” ujarnya lagi.

Beliau menambah, pelantikan Dato Sri Alexander Nanta Linggi sebagai Menteri Kerja Raya akan memastikan program pembangunan infrastruktur termasuk kawasan luar bandar terus dipertingkatkan. 

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari mengulas lanjut, pelantikan Dato Sri Fadillah Yusof sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi pula akan memberi manfaat kepada Sarawak yang mempunyai kawasan yang luas untuk komoditi sawit. 

“Dalam masa dua tahun, Sarawak mungkin mengatasi Sabah sebagai pengeluar terbesar kelapa sawit,” katanya. 

Turut hadir ialah Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Presiden SBA, Tan Sri Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz Dato Husain. -EDISI UKAS

add comment