39 Kakitangan Pentadbiran Bahagian Miri Terima APC

ISNIN, 5 DISEMBER 2022

MIRI: Seramai 39 orang kakitangan Pentadbiran Bahagian Miri telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) atas prestasi cemerlang yang ditunjukkan beberapa tahun ini. 

APC merupakan salah satu kaedah yang dipraktikkan oleh kerajaan dalam memberikan pengiktirafan kepada penjawat-penjawat awam yang menunjukkan prestasi kerja cemerlang.

Menurut Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, untuk menjadi sebuah organisasi cemerlang, sudah semestinya pekerja yang mempunyai prestasi yang cemerlang amat diperlukan. 

“Bagi menjadi seorang pekerja yang cemerlang, aspek-aspek seperti pengetahuan, kemahiran, pengalaman, kecekapan dan nilai positif serta kepakaran yang dimiliki oleh pekerja merupakan aset yang tidak ternilai.

“Semuanya diperlukan demi memastikan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan berada pada tahap cemerlang,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibaca oleh Ahli Majlis Bandaraya Miri, Kaunselor Kueh Chie Tiong dalam Majlis Malam Apresiasi dan Penutupan Kursus Rejuvenasi Ke Arah Budaya Kerja Yang Cemerlang Tahun 2022 di Miri Marriot Resort and Spa baru-baru ini. 

Dalam pada itu, Dato Sri Lee mengucapkan tahniah kepada semua yang terpilih. 

“Semoga pengiktirafan ini akan menyuntik semangat serta mencetus inspirasi, seterusnya menjadi teladan kepada semua warga Pentadbiran Bahagian Miri dalam membentuk pekerja yang cemerlang,” tambahnya lagi. 

Malam Apresiasi dan Penutupan Kursus Rejuvenasi Ke Arah Budaya Kerja Yang Cemerlang Tahun 2022 dengan tema “World Cup 2022” itu merupakan program anjuran Pejabat Residen Bahagian Miri. 

Untuk rekod, 39 orang kakitangan yang menerima APC tersebut terdiri daripada 11 orang untuk tahun 2019, 14 orang untuk tahun 2020 serta 14 orang untuk tahun 2021. 

Majlis tersebut turut bertujuan bagi meraikan mereka yang mendapat penilaian prestasi tahunan sebanyak 85 peratus ke atas serta meraikan golongan pesara dan kakitangan yang berpindah.

Antara Turut hadir, Residen Bahagian Miri, Abdul Aziz Mohamad Yusuf, Timbalan Residen Bahagian Miri, Juan Ubit. -Edisi UKAS

add comment