86 Kakitangan UKAS Hadir Siri Pertama Program Team Building UKAS 2022

ISNIN, 5 DISEMBER 2022

MIRI: Seramai 86 orang kakitangan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) telah terlibat dalam siri pertama Program Team Building UKAS 2022 yang berlangsung selama tiga hari di Eastwood Valley Golf and Country Club Miri bermula 1 hingga 3 Disember lepas. 

Menurut Pemangku Pengarah UKAS, Samuel Simon, sebagai sebuah keluarga UKAS, sudah tentu banyak cabaran yang dilalui dalam melunaskan tugasan dan tanggungjawab yang diberikan, namun ianya dapat diatasi apabila setiap kakitangan bekerjasama sesama diri.

“Saya amat gembira kerana ramai daripada kita dapat hadir ke program ini yang bertujuan untuk mengeratkan lagi persahabatan, silaturahim dan kerjasama antara setiap kakitangan. Ini adalah selaras dengan usaha kita untuk mencapai visi dan misi UKAS dengan lebih baik,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap menyempurnakan program tersebut pada Sabtu. 

Samuel menambah, semangat kerjasama dan komitmen tinggi daripada kakitangan UKAS yang terlibat dalam program ini perlu dikekalkan serta diteruskan pada setiap masa. 

Sementara itu, Ketua Seksyen Latihan, Pengurusan Kualiti dan Penyelidikan UKAS, Dr. Charlie Dudang menjelaskan, program ini dianjurkan untuk memupuk semangat kebersamaan dengan menerapkan kesemua enam nilai bersama (Six Shared Values) Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (PANS) iaitu Integriti, Profesionalisme, Berorientasikan Hasil, Baik Hati dan Prihatin, Semangat Berpasukan serta Sikap Kesegeraan dan Semangat Sepunya. 

“Saya yakin semua mendapat manfaat daripada program yang kita anjurkan ini. Siri kedua pula akan diteruskan di Lundu pada 5 hingga 7 Disember ini bagi kakitangan UKAS yang tidak berkesempatan mengikuti siri pertama,” jelas beliau.

Menerusi program Team Building ini, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan sebagai kaedah mewujudkan serta mengeratkan lagi semangat berpasukan antara para peserta. 

Turut hadir, Pegawai Tadbir Khas UKAS, Datu Takun Sunggah dan Ketua Seksyen Pemantauan dan Pembangunan Komuniti UKAS, Anwar Hanafi Ardimansyah. -Edisi UKAS

add comment