ISNIN, 5 DISEMBER 2022
KUCHING: Kerajaan pada hari ini berusaha untuk memperkasakan sektor koperasi sebagai ketiga terpenting selepas sektor kerajaan dan swasta.
Ini kerana koperasi mempunyai jumlah aset melebihi RM140 bilion selain bilangan koperasi sebanyak 14,834 serta anggotanya melebihi 7 juta orang.
Menurut Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, sumbangan koperasi juga mampu memastikan impak kewujudan koperasi di kalangan anggota dan masyarakat sekeliling dapat dirasai.
“Sektor koperasi berada di landasan yang baik untuk terus bergerak untuk pembangunan komuniti secara menyeluruh. Melalui koperasi membolehkan sasaran kerajaan untuk meningkatkan sosio ekonomi masyarakat secara inklusif dapat dilaksanakan.
“Koperasi perlu membentuk rantaian kerjasama antara anggota terutamanya anggota usahawan dan koperasi bagi membolehkan koperasi turut menjana pendapatan melalui proses perkongsian teknologi, kepakaran dan sumber,” ujarnya.
Beliau berkata demikian melalui teks ucapan dibaca oleh Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail pada perasmian Program Seminar ‘Transformasi Rantaian Tani Niaga: Peluang Koperasi’ bertempat di Hotel Raia dan Konvensyen Kuching pada Ahad.
Tambahnya, koperasi juga perlu terus memainkan peranan lebih aktif dalam mencari akses pasaran baharu dan pada masa yang sama, memajukan ekonomi dalam pertanian.
“Saya amat yakin bahawa program seminar ini akan mampu membuka minda dan memberi idea baru dalam gerakan koperasi di negeri Sarawak.
“Ke arah itu, sama-samalah kita tingkatkan usaha, kemahiran dan pengetahuan untuk membangunkan diri agar keyakinan masyarakat terus dipertingkatkan sejajar dengan hasrat kerajaan melahirkan usahawan koperasi yang lebih kompetitif, berdaya saing, progresif dan berintegriti,” katanya lagi.
Oleh itu, beliau berharap dengan sokongan dan kerjasama semua pihak aspirasi Kementerian untuk menggalakkan penglibatan koperasi mahupun usahawan akan menjadi usaha murni yang berterusan.
Hadir sama Pengarah Suruhanjaya Koperasi Negeri Sarawak Liew Liuk Chim, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Modal insan Koperasi) Institut Koperasi Malaysia Zon Sarawak Mohd Zaib Mat Yunus, Pengarah Institut Koperasi Malaysia Zon Sarawak Siti Maimunah Jerni dan tetamu jemputan yang lain. – EDISI UKAS