ISNIN, 5 DISEMBER 2022
KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah menerima kunjungan hormat daripada rombongan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) di pejabat beliau di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya di sini pada Isnin.
Kunjungan yang diketuai oleh Kontroler Kualiti Alam Sekitar, Peggy Ronin Edin itu bertujuan bagi menjemput Premier Sarawak menghadiri Anugerah Alam Sekitar Premier Sarawak (PSCA) 2021/2022 Ke-10 yang akan berlangsung pada 14 Disember ini.
Ketika ditemui wartawan selepas kunjungan hormat itu, Peggy Ronin memberitahu, PSCA merupakan salah satu inisiatif kerajaan Negeri untuk memberi pengiktirafan dan menggalakkan semua sektor industri untuk mengutamakan pengurusan alam sekitar dengan baik.
“PSCA adalah pengiktirafan kepada semua industri, sektor kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di mana Kerajaan Sarawak ingin mengiktiraf usaha mereka dalam membantu menjaga alam sekitar.
“Kami telah mengadakan acara ini bermula 2001, jadi ini akan menjadi edisi ke-10.
“Sekarang , semua orang bercakap tentang alam sekitar dan perubahan iklim. Jadi ini adalah platform yang terbaik untuk menunjukkan kepada orang ramai tentang kepentingan mengamalkan inisiatif hijau dan mengambil berat tentang alam sekitar,” katanya. -EDISI UKAS