Sarawak Bakal Bina Pusat Kanser Di Samarahan

ISNIN, 5 DISEMBER 2022

KUCHING : Kerajaan Sarawak bakal membina sebuah Pusat Kanser Sarawak di Samarahan untuk meringankan beban pesakit kanser di sini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pusat tersebut penting bagi memudahkan dan mengurangkan kos perbelanjaan pesakit kanser di Sarawak tanpa perlu mendapatkan rawatan di Semenanjung Malaysia. 

“Kita rasa, penting untuk kita bina Pusat Kanser di wilayah Sarawak. Jika tidak, kita terpaksa hantar pesakit ke Kuala Lumpur dan kosnya sangat mahal.

“Oleh itu, Kerajaan Sarawak sedia membantu dengan membina bangunan bagi pusat tersebut manakala pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membantu dalam menyediakan tenaga pakar dan juga pengamal-pengamal perubatan,” katanya. 

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ulangtahun Ke-50 Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Cawangan Sarawak di Hotel Imperial Kuching pada Ahad.

Tambahnya, Sarawak perlu terus memperkukuh keupayaan sektor penjagaan kesihatan melalui pembinaan kapasiti sumber manusia dan infrastruktur. 

“Ke arah ini, Kerajaan Sarawak melalui Yayasan Sarawak telah menaja kumpulan pertama pelajar perubatan di UNIMAS iaitu sebanyak 38 graduan baru-baru ini dan mungkin lebih banyak tajaan akan dilakukan pada masa depan untuk memenuhi keperluan tenaga kerja yang semakin meningkat dalam bidang perubatan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Premier Sarawak turut mengalu-alukan sokongan profesional penjagaan kesihatan untuk bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak dalam meningkatkan dan menambah baik perkhidmatan penjagaan kesihatan di negeri ini dan menjadikan kesihatan dan kesejahteraan sebagai ciri utama industri pelancongan di Sarawak.

Turut hadir, isteri Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Prof. Dr Sim Kui Hian serta isteri, Datin Sri Enn Ong Siok Ean.

Hadir sama, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Dr Hazland Abang Hipni; Presiden MMA, Dr Muruga Raj Rajathurai, Pengerusi MMA Sarawak, Dr Liew Shan Fap serta Pengerusi Penganjur Majlis Ulangtahun Ke-50 MMA Sarawak, Dr Kalwinder Singh Khaira.-EDISI UKAS

add comment