Anugerah Datuk Bandar Miri Iktiraf Pihak Yang Menyumbang Kepada Pembangunan Miri

SELASA, 6 DISEMBER 2022

MIRI: Anugerah Datuk Bandar Miri 2021/2022 menjadi platform untuk mengenal pasti, mengiktiraf dan memberi penghargaan kepada setiap pihak yang turut bersama dalam membangunkan kawasan Miri.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Adam Yii Siew Sang berkata, ia adalah sebagai penghargaan dan pengiktirafan kepada agensi kerajaan, pertubuhan tempatan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan individu atas kejayaan dalam pelbagai aspek yang dapat dimanfaatkan oleh warga Miri pada hari ini.

“Kami berterima kasih kepada sektor awam dan swasta, NGO dan masyarakat Miri yang telah memberikan sokongan besar mereka dengan menyertai Majlis serta berganding bahu untuk membina masa depan yang lebih baik untuk Miri.

“Oleh itu, mereka yang telah dikenal pasti wajar dianugerahkan dengan anugerah tersebut. Bagi pihak MBM, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada setiap penerima.

“MBM akan terus mengenal pasti sumbangan individu dan organisasi kepada Bandaraya Miri.  Oleh itu, senarai penerima akan terus meningkat sejajar dengan pertumbuhan berterusan Bandaraya Miri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis Anugerah Datuk Bandar Miri 2021/2022 di sini pada Isnin.

Adam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut menambah, selain daripada penyampaian anugerah itu, MBM menerusi perancangan kalendar acara sedia ada secara konsisten mengadakan program ikonik lain termasuk Perarakan Krismas Bandaraya Miri, Bazar Terbuka Gong Xi Fa Cai, Pesta Mei Miri dan Sambutan Ulang Tahun Bandaraya Miri. 

“Acara-acara sebegini telah mendorong untuk mempromosikan Bandar Miri bukan sahaja di dalam negara malahan juga luar negara. 

“Menerusi usaha sebegini, kita telah mendapat pengiktirafan terbaru iaitu Anugerah Emas Bandaraya Lestari (Malaysia Timur) Majlis Pelancongan Malaysia 2022,” ujarnya lagi.

Beliau juga berkata, dalam usaha untuk mempromosikan Bandaraya Miri sebagai hab ekonomi yang cergas, MBN telah menjalin hubungan lebih erat dengan negara-negara jiran berkaitan penglibatan antara bandar serta inisiatif peluang perniagaan.

“Sukacita dimaklumkan bahawa kami telah mendapat maklum balas yang positif dan menggalakkan. 

“Beberapa hari yang lalu, kami telah meyakinkan sebuah pasar raya besar untuk mempromosikan produk makanan Indonesia sebagai mengeratkan hubungan dua hala antara Miri dengan bandar-bandar utama di negara tersebut. 

“Pada awal November 2022 pula, MBM telah menjadi tuan rumah untuk sesi penglibatan bersama duta-duta dan syarikat diplomatik dari 18 negara asing yang berpangkalan di Negara Brunei Darussalam.

“Selain itu, MBM juga telah menjemput delegasi Filipina yang diketuai oleh Datuk Bandar Perbandaran La Trinidad, Romeo K. Salda yang pastinya akan menjadi permulaan kepada siri kerjasama dua hala dalam pelancongan, kebudayaan dan pertanian untuk kedua-dua bandar dan bandar lain di Filipina,” katanya.

Dalam majlis Anugerah Datuk Bandar Miri itu, antara kategori anugerah yang disampaikan ialah Anugerah Khas Tertinggi Datuk Bandar, Anugerah Khas Datuk Bandar, Keselamatan, Belia, Kebudayaan, Kesenian, Promosi Sukan dan Bakat, Promosi Pelancongan, Kebajikan, Kesihatan, Persekitaran, Pendidikan, Korporat dan Amalan Keselamatan Industri.

Hadir sama ialah Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Dato’ Sri Peter Chin Fah Kui, Datuk Bandar Perbandaran La Trinidad, Romeo K. Salda, Timbalan Datuk Bandar MBM, Julaihi Mohamad, Pemangku Setiausaha MBM, Abdul Rahman Taupek dan Pengerusi Pengelola Majlis, Kauselor Abdullah Jaini. -Edisi UKAS

add comment