SELASA, 6 DISEMBER 2022
KUCHING: Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan bertitah agar negeri-negeri lain di Malaysia mencontohi Sarawak dalam menganjurkan simposium pelbagai seni dan kraftangan di negara ini.
Seri Paduka Baginda berkenan memuji Sarawak sebagai antara negeri yang pertama mengadakan simposium sedemikian yang mana ia dilihat sebagai platform untuk berkongsi pandangan dan idea tentang seni dan kraf Malaysia.
“Beta berharap negeri-negeri lain akan mengikutinya dan tidak hanya menunggu Simposium Tekstil Tradisional ASEAN.
“Simposium sebegini membolehkan persahabatan terjalin supaya masyarakat boleh terus terikat untuk berkongsi idea dan belajar antara satu sama lain agar dapat meninggalkannya sebagai warisan untuk generasi akan datang,” titah baginda.
Seri Paduka Baginda bertitah demikian dalam Majlis Lembaran Emas Siri Kedua Simposium Tekstil Borneo di Hotel Pullman, Kuching pada Selasa.
Dalam pada itu, Raja Permaisuri Agong berharap agar pihak berkaitan akan mengambil bahagian dalam ‘London Craft Week’ pada Mei tahun hadapan untuk memperkenalkan kraftangan dari pelbagai masyarakat orang asli dan etnik di negara ini ke pentas antarabangsa.
“Beta berharap Sarawak akan menyokong beta di sini. Warga negara barat mempunyai minat untuk mengetahui lebih lanjut tentang puak dan etnik. Dengan membawa rakyat tempatan ke London, beta berharap seni asli yang kaya ini dapat dipamerkan,” titah baginda.
Dalam majlis tersebut, Raja Permaisuri Agong turut berkenan menyumbangkan keringkam berusia 36 tahun yang berada dalam simpanan Seri Paduka Baginda kepada Kerajaan Sarawak untuk dipamerkan di muzium tempatan.
“Ia adalah sebahagian daripada mas kahwin beta yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan beta ingin menyampaikannya kembali kepada Kerajaan Sarawak agar dapat dipamerkan di muzium,” jelasnya.
Untuk rekod, Simposium Tekstil Borneo dengan tema ‘Menghubungkan Tekstil Kepada Komuniti Untuk Pertumbuhan Mampan’ itu akan diadakan selama tiga hari bermula 5 hingga 7 Disember di Hotel Pullman Kuching.
Ia bertujuan untuk meningkatkan dan memacu pemeliharaan serta pemuliharaan tekstil Sarawak.
Turut hadir, Isteri Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, isteri-isteri kepada Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Dato Doreen Mayang dan Datin Sri Eng Ong Siok Ean, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Dr. Sabariah Putit serta tetamu-tetamu kehormat yang lain. -Edisi UKAS