RABU, 7 DISEMBER 2022
KUCHING: Sebanyak 14 kes wabak rabies di kalangan manusia termasuk 11 kes kematian dicatatkan mulai Januari sehingga 6 Disember tahun ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS), Dr Ooi Choo Huck berkata, terbaharu, pihaknya telah menerima laporan satu kes rabies melibatkan seorang lelaki berusia 60 tahun yang disahkan meninggal dunia pada 5 Disember lepas di Hospital Sibu.
Menurutnya, mangsa disahkan positif rabies melalui ujian makmal dan didiagnosa sebagai rabies encephalitis.
“Mangsa dilaporkan telah mengalami gejala jangkitan rabies bermula pada 26 November 2022. Mangsa telah pergi mendapatkan rawatan di klinik kesihatan pada 1 Disember 2022, apabila gejala bertambah teruk termasuk kesukaran menelan makanan dan minuman.
“Mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut. Mangsa tidak mempunyai sejarah digigit atau dicakar oleh anjing. Bagaimanapun, beliau didapati pernah mengendalikan bangkai anjing pada Oktober 2022, namun status rabies bagi haiwan-haiwan tersebut tidak dapat dipastikan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Dr Ooi menambah, memandangkan rabies adalah endemik di semua bahagian di Sarawak dan melalui aktiviti survelan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sarawak yang turut mendapati banyak anjing yang positif rabies, maka JKNS ingin menasihati orang ramai agar segera melaporkan kepada pihak DVS Sarawak sekiranya terdapat haiwan peliharaan mereka yang berubah tingkah laku sama ada menjadi ganas atau muram.
Malah tegasnya, pihaknya menasihati orang ramai agar tidak sesekali cuba menangkap atau menyentuh atau membunuh haiwan tersebut
“Seterusnya tidak mengendalikan sebarang haiwan liar, termasuk anjing dan kucing liar, sama ada yang hidup mahupun yang telah mati.
“Laporkan terus kepada pihak DVS Sarawak untuk siasatan lanjut bagi memastikan haiwan peliharaan terutamanya anjing dibawa untuk suntikan antirabies setiap tahun agar dilindungi dari jangkitan virus rabies.
“Suntikan vaksin rabies pada anjing akan mengelakkan manusia daripada dijangkiti rabies. JKNS akan terus berusaha dan memastikan agar rawatan bagi luka gigitan anjing dan pemberian vaksin anti-rabies kepada penduduk yang terkesan mudah dicapai.
“Sebanyak 26 buah fasiliti kesihatan kerajaan di seluruh Sarawak juga telah dikenal pasti bagi memudahkan tujuan tersebut,” katanya. -EDISI UKAS