Samarahan Eagles Ketengahkan Bakat Tempatan, Lahir Pemain Bola Sepak Berkualiti

KHAMIS, 8 DISEMBER 2022

KOTA SAMARAHAN: Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Muara Tuang telah menubuhkan pasukan bola sepak yang dikenali Samarahan FC atau lebih dikenali Samarahan Eagles. 

Menurut penaung dan penasihat Samarahan Eagles, Dato Idris Buang, penubuhan pasukan tersebut adalah sebagai salah satu wadah bagi pembangunan bola sepak khasnya golongan belia di Kota Samarahan.

Jelasnya, beliau mahu mengangkat semula pelapis pemain bola sepak di negeri ini dalam usaha untuk mengetengahkan bakat-bakat anak jati dari Samarahan untuk digilap dan bersaing di pentas yang lebih tinggi.

“Saya berharap agar skuad Samarahan Eagles yang ditubuhkan ini akan melakar nama dan terus menyerlah agar dapat mengangkat semangat juang dalam sukan dan juga kegiatan belia serta anak-anak muda Samarahan di peringkat yang lebih tinggi,” katanya ketika ditemui semasa pelancarannya di Pusat Khidmat DUN Muara Tuang di sini pada Rabu. 

Mengulas lanjut, Dato Idris yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang menambah, pihaknya akan menjalinkan hubungan kerjasama dengan beberapa pihak berkepentingan bagi memastikan objektidf dan perancangan pasukan ini dapat direalisasikan. 

“Pelbagai strategi dalam meningkatkan pembangunan bola sepak akan dilaksanakan dengan menjalinkan kerjasama dengan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS).

“Manakala, jawatankuasa protem Samarahan Eagles akan membuat pemilihan pemain-pemain yang akan mewakili Samarahan Eagles dalam masa terdekat,” tambahnya. 

Pasukan Samarahan Eagles akan dibimbing Ahmad Nurfaizal Patrick Abdullah  selaku jurulatih dan Hazwan Hussain sebagai Pengerusi Samarahan Eagles.-EDISI UKAS

add comment