Setiap Masyarakat Perlu Peka Dengan Kesihatan Diri & Keluarga

AHAD, 11 DISEMBER 2022

MIRI: Setiap masyarakat perlu memastikan kesihatan diri dan keluarga berada dalam keadaan terbaik. 

Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Penasihat SABERKAS Cawangan Senadin Dato Seri Lee Kim Shin berkata, ini penting bagi memastikan dapat menjalankan urusan harian dengan lancar dan berkesan.

“Tujuan Jelajah Saringan Kesihatan Percuma yang dijalankan ini adalah untuk menyahut seruan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan rakyat Malaysia secara amnya dan rakyat Sarawak khususnya mengambil berat dan peka terhadap tahap kesihatan masing-masing,” katanya. 

Beliau berucap merasmikan Jelajah Saringan Kesihatan di Balai Raya Kampung Muhibbah Kuala Baram, Miri di sini pada Sabtu. 

Pada jelajah itu, telah diadakan pelbagai aktiviti menarik antaranya saringan kesihatan percuma yang disediakan termasuk ujian tekanan darah, pemeriksaan fizikal, BMI dan ujian komosisi badan.

Manakala peserta di bawah skim PEKAB40 juga boleh melakukan ujian darah dan air kencing secara percuma.

Program ini juga akan turut diadakan di Balai Raya Kampung Masjid, Balai Raya Kpg Batu Satu, Dewan Serbaguna Tudan Desaras Fasa 6, Dewan Serbaguna Tudan Fasa 2A, Dewan Kampung Pujut Tanjung Batu, Dewan Serbaguna Kampung Pengkalan, Balai Raya Kampung Katong Lopeng dan Dewan Serbaguna Kampung Lopeng Tengah.

Hadir sama Pengerusi Saberkas Cawangan Senadin Deammy Sim, Ketua Kaum Kampung Muhibbah Saat Bos dan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Muhibbah Kuala Baram Mohd Azif Amin Abdullah.-EDISI UKAS

add comment