ISNIN, 12 DISEMBER 2022
KUCHING: Memorandum Persefahaman (MoU) yang termeterai di antara Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) bersama Kumpulan POSCO menandakan satu lagi kejayaan untuk Sarawak.
Pengerusi Lembaga Pengarah PETROS, Tan Sri Datuk Amar (Dr) Hamid Bugo berkata, beliau yakin dengan terbentuknya kerjasama tersebut sekaligus menjadikan negeri ini mencapai taraf dunia dalam Penangkapan dan Penyimpanan Karbon (CCS).
“Kami amat berbesar hati dengan Premier Sarawak dan kerajaan Sarawak yang memberikan kepercayaan serta keyakinan kepada PETROS untuk menjadi pengurus sumber bagi CCS untuk Sarawak.
“Dengan sokongan dan kerjasama yang betul, kita pasti boleh menjadikan Sarawak bertaraf dunia dalam CCS,” katanya semasa berucap dalam Majlis Menandatangani MoU tersebut di Wisma Bapa Malaysia di sini pada Isnin.
Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif merangkap Ketua Perniagaan Hidrogen POSCO Holdings Cho Ju-Ik juga yakin MoU yang dimeterai tersebut akan menandakan langkah pertama yang baik untuk projek CCS pihaknya pada masa hadapan.
Tambah beliau, pihaknya merancang untuk beralih kepada pembuatan keluli berasaskan hidrogen.
“Saya yakin kerjasama dengan PETROS ini mempunyai harapan besar untuk CCS kami.
“Kumpulan POSCO akan berusaha sehabis baik untuk membantu Sarawak dalam meningkatkan ekonomi dan mencapai matlamat pelepasan karbon sifar bersih,”ujar beliau.
PETROS menandatangani perjanjian kerjasama dengan POSCO Holdings, POSCO International dan POSCO Engineering & Construction sambil disaksikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Keempat-empat syarikat ini akan menjalankan kajian bersama mengenai tapak penyimpanan karbon yang berpotensi di Sarawak berdasarkan data yang disediakan oleh PETROS, pengangkutan Cecair Karbon Dioksida (CO2) dari Korea ke hab CCS di Sarawak, suntikan dan penyerapan CO2, penyelesaian untuk mengurangkan atau mengelakkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) yang timbul daripada peluang CCS serta menilai kebolehlaksanaan teknikal dan komersial perniagaan CCS.
Turut hadir di majlis tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Dr. Hazland Abang Hipni, Setiausaha Kewangan Negeri Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Pengerusi Lembaga Pengarah PETROS Tan Sri Datuk Amar (Dr) Hamid Bugo serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETROS Janin Girie. -Edisi UKAS