ISNIN, 12 DISEMBER 2022
KUCHING: Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) telah memeterai perjanjian persefahaman (MoU) bersama dengan Kumpulan POSCO dari Republik Korea berkaitan kolaborasi tangkapan dan penyimpanan karbon (CCS).
MOU tersebut dimeterai dan disaksikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya di sini pada Isnin.
PETROS diwakili oleh Pemangku Naib Presiden Kanan Pengurusan Sumber Sarawak, Anyi Ngau, manakala Kumpulan POSCO pula diwakili oleh Naib Presiden Eksekutif merangkap Ketua Pejabat Perniagaan Hidrogen POSCO Holdings, Cho Ju Ik, Ketua Unit Perniagaan Hidrogen POSCO Engineering and Construction, Jeong Woo Sik serta Ketua Unit Perniagaan Hidrogen POSCO International, Yu Yang Jae.
MOU tersebut antara lain bertujuan mewujudkan kolaborasi untuk melaksanakan kajian bersama berkaitan lokasi-lokasi di Sarawak yang berpotensi sebagai tapak penyimpanan karbon berdasarkan data yang disediakan oleh PETROS, pengangkutan karbon dioksida dari Korea ke hab tangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) di Sarawak serta suntikan dan penyerapan karbon dioksida.
Selain itu, ia juga dilaksanakan untuk mencari penyelesaian bagi mengurangkan atau mengelakkan pelepasan gas rumah hijau menerusi peluang-peluang yang timbul daripada CCS di samping menilai kebolehlaksanaan teknikal dan komersil perniagaan CCS.
Terdahulu, Premier Sarawak dalam ucapannya berkata, inisiatif penggunaan dan penyimpanan tangkapan karbon (CCUS) yang dilaksanakan oleh Sarawak bertujuan menyokong perniagaan tenaga hijau selaras dengan pergerakan kewangan global ke arah rangka kerja Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Jelasnya, CCUS didapati merupakan satu penyelesaian berdaya maju secara komersil yang berpontesi digunakan untuk membuat hidrogen, ammonia biru, bahan api bio serta produk-produk lain yang berkaitan, sekaligus menyediakan platform yang mampan di Sarawak di samping membolehkan penjanaan kredit karbon.
“Menurut Institut CCS Global, CCUS ialah salah satu teknologi yang mampu menggantikan karbon dioksida dengan secukupnya selain merupakan satu-satunya teknologi yang mampu mengurangkan pelepasan berskala besar daripada pelbagai sumber perindustrian.
“Di samping itu, teknologi ini boleh digunapakai semula untuk banyak kemudahan sedia ada, sekaligus membolehkan kemudahan tersebut beroperasi secara bersih,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menekankan bahawa Sarawak perlu menumpukan kepada pembangunan dan pelaksanaan teknologi tenaga yang lebih bersih merentas rantaian nilai untuk membolehkan negeri ini memenuhi permintaan tenaga dunia dengan secara mampan dan cekap.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr. Hazland Abang Hipni, Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak, Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Pengerusi Lembaga Pengarah PETROS, Tan Sri Datuk Amar (Dr) Hamid Bugo serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETROS, Janin Girie. -Edisi UKAS