UKAS Pikul Tanggungjawab Sebar Fakta Sahih, Bantu Pembangunan Sarawak

KUCHING: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) sentiasa memainkan peranan penting dalam memikul tanggungjawab menyebar fakta yang sahih ke arah membantu usaha pembangunan negeri ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, UKAS bersama agensi media lain juga bertindak sebagai medium penyampaian berita dan informasi yang berkesan kepada semua lapisan masyarakat.

Menurutnya, sebagai media rasmi kerajaan negeri, UKAS memainkan peranan bagi memaparkan maklumat yang tepat sekaligus menangkis laporan yang memburukkan kerajaan dengan menyebarkan berita palsu untuk menghasut pemikiran rakyat.

“Justeru, semua warga kerja UKAS perlu membina budaya kerja yang lebih efisien malah meningkatkan kepakaran sedia ada dalam teknologi maklumat dan komunikasi.

“Peranan dan sumbangan warga UKAS khususnya kakitangan yang turun ke lapangan untuk mendapatkan maklumat terkini amat kita hargai demi mendapatkan laporan yang tepat, pantas dan terkini,” katanya semasa berucap ringkas dalam Majlis Makan Malam UKAS ‘Sehati Sejiwa’ di Courtyard TEGAS Digital Village pada malam Ahad.

Hadir sama, Pemangku Pengarah UKAS, Samuel Simon, Ketua-ketua Seksyen UKAS, warga kerja UKAS dan rakan-rakan media.

Sementara itu, Datuk Abdullah Saidol memberitahu, operasi UKAS akan terus diperkasakan dengan penambahbaikan baharu yang akan mempertingkat sistem urus tadbir dan penyebaran maklumat.

“Maklumat-maklumat berkaitan hala tuju kerajaan negeri perlu diketahui dan difahami oleh rakyat di negeri ini sekaligus membantu kerajaan menyampaikan agenda dirancang,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, pelbagai aktiviti diadakan bagi menghangatkan majlis seperti persembahan dan cabutan bertuah, pemotongan kek hari jadi Datuk Abdullah Saidol serta warga kerja UKAS yang lahir pada bulan Oktober, November dan Disember.

Tidak ketinggalan, Datuk Abdullah Saidol turut menyampaikan cek sumbangan kepada Kelab Kebajikan Unit Komunikasi Awam Sarawak untuk menjalankan pelbagai aktiviti pada tahun 2023.-EDISI UKAS

add comment