Residen Bahagian Limbang Sebi Abang Bersara Wajib, Serah Tugas Kepada Timbalan Residen Bahagian Limbang

SELASA, 13 DISEMBER 2022

LIMBANG: Sebagai penjawat awam, apabila berumur 60 tahun mereka akan bersara kerana itu adalah usia persaraan wajib bagi penjawat awam.

Menurut Residen Bahagian Limbang Sebi Abang, setiap penjawat awam perlu mematuhi pekeliling, arahan-arahan dan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.

Justeru, pada majlis ini beliau akan menyerahkan tugas kepada Timbalan Residen Jamalie Busri yang akan memangku jawatan Residen Bahagian Limbang.

“Saya percaya Timbalan Residen Jamalie akan dapat menjalankan tugas-tugas sebagai Pemangku Residen Bahagian Limbang kerana sebelum ini beliau pernah berkhidmat di Limbang dahulu sebagai Pegawai Daerah sebelum ditukar ke Miri,” katanya semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Tugas Residen Bahagian Limbang di Pejabat Residen Bahagian Limbang di sini pada Isnin. 

Dalam pada itu, beliau turut menyeru setiap jabatan dan agensi kerajaan memberikan kerjasama kepada Pemangku Residen Bahagian Limbang. 

“Saya menyeru kepada semua ketua jabatan dan agensi kerajaan memberikan kerjasama kepada Pemangku Residen Bahagian Limbang bagi memastikan visi dan misi yang berbeza setiap jabatan dan agensi akan dapat disatukan di bawah kepimpinan Residen Bahagian Limbang,” ujarnya. 

Sebi telah berkhidmat sebagai penjawat awam Sarawak selama 40 tahun 4 bulan 15 hari dan menjawat Timbalan Residen pada tahun 2019 dan kemudiannya dilantik sebagai Residen Bahagian Limbang pada tahun ini.

Terdahulu, Timbalan Residen Bahagian Limbang Jamalie Busri dalam ucapannya mengucapkan terima kasih dan selamat bersara bermula 13 Disember ini. -EDISI UKAS

add comment