Kelestarian Alam Sekitar Asas Rancangan 10 Tahun Sarawak Jadi Sebahagian Peralihan Global Kepada Tenaga Bersih

KHAMIS, 15 DISEMBER 2022

KUCHING: Kelestarian alam sekitar adalah asas kepada rancangan 10 tahun Sarawak untuk menjadi sebahagian daripada peralihan global yang dipercepatkan kepada tenaga bersih.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, ia juga adalah bagi mencapai pelepasan sifar bersih dan dalam proses membalikkan perubahan iklim yang tidak dapat diabaikan dunia.

“Semasa Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-26 (COP26) di Glasgow, Malaysia komited untuk mengurangkan intensiti pelepasan rumah hijau sebanyak 45 peratus daripada paras 2005 dan mencapai sifar bersih menjelang 2050. Sarawak juga komited untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau di rantau ini.

“Oleh yang demikian, kerajaan Sarawak telah menubuhkan Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar (MESSty) yang bertanggungjawab untuk merancang, menyelaras dan menyediakan hala tuju bagi pembangunan pertumbuhan hijau, tenaga boleh diperbaharui, kemampanan dan perubahan iklim,”katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis Anugerah Alam Sekitar Premier Sarawak 2021/2022 Edisi Ke-10 di Hotel Waterfront di sini pada Rabu.

Selain itu Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari berkata, pada masa ini, ramai para pelabur memntingkan kelestarian alam sekitar semasa membuat keputusan untuk pelaburan.

Jelasnya, kebanyakan pelabur yang bertanggungjawab secara sosial menyemak syarikat menggunakan kriteria Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) untuk menapis pelaburan.

“Faktor ESG ialah subset penunjuk prestasi bukan kewangan yang merangkumi isu etika, mampan dan tadbir urus korporat seperti memastikan terdapat sistem untuk memastikan akauntabiliti dan mengurus perbadanan jejak karbon.

“Selain daripada pertumbuhan, keuntungan, budaya syarikat dan tadbir urus korporat, apa yang mentakrifkan syarikat yang berjaya hari ini termasuk sikapnya terhadap alam sekitar dan kemampanan.

“Industri mesti memacu agenda kemampanan dalam sektor masing-masing dengan mengambil langkah untuk mengurangkan jejak sumber mereka dan bergerak ke arah model perniagaan pekeliling dan sifar sisa,”ujar Premier Sarawak.

Antara yang turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Dr. Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr. Penguang Manggil, Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Martin Ben, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang merangkap Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan Lo Khere Chiang, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Dato Wee Hong Seng dan Setiausaha Agung Persekutuan Persatuan Perniagaan Sarawak (SBF) Dato Jonathan Chai Voon Tok yang mewakili Pengerusi SBF Datuk Abang Abdul Karim Tun Datuk Abang Openg.-Edisi UKAS

add comment