Terus Usaha Dapatkan Autonomi Kesihatan, Kertas Putih Kesihatan Dialukan

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan meneruskan autonomi dalam kesihatan seperti yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata, Kertas Putih Kesihatan yang memperuntukkan autonomi kesihatan kepada negeri ini amat dialu-alukan.

Menurutnya, inisiatif ini adalah bagi meningkatkan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat di negeri ini.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Persidangan Tiga Pihak Mengenai Cabaran Penjagaan Kesihatan Pada Abad Ke-21 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Rabu.

Dato Sri Dr Sim menambah, antara perkara yang amat ditekankan adalah mengenai sektor kesihatan termasuk akses kepada pembedahan dan latihan pakar bedah masa depan.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kertas Putih Kesihatan itu perlu dibentang semula di Parlimen untuk perbahasan dan kelulusan.

Katanya, sebelum pembentangan itu, sesi libat urus dengan pelbagai pihak termasuk tenaga-tenaga pakar dalam sektor kesihatan perlu diadakan.

Sementara itu, beliau memberitahu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mengkaji bagaimana hospital daerah dioptimumkan kepada pesakit.

Jelasnya, langkah itu dikaji susulan KKM mendapati hospital daerah kurang digunakan.

Menurutnya, bagi kes-kes rumit pula boleh dirujuk ke hospital yang lebih besar. -EDISI UKAS

add comment