KHAMIS, 15 DISEMBER 2022
KUCHING: Warga Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (PANS) perlu ‘revisit, rethink and recharge’ bagi memastikan mereka sentiasa relevan dalam menyampaikan perkhidmatan cemerlang kepada rakyat di negeri ini.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, faktor-faktor tersebut adalah penting kerana beberapa aktiviti serta projek kerajaan yang dirancang sebelum ini mungkin belum terlaksana serta tidak relevan lagi dengan situasi semasa.
“Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bergerak pantas dalam membangunkan negeri ini dengan memperkenalkan pelbagai idea inovatif dari masa ke masa.
“Sehubungan itu, warga PANS juga perlu mengekalkan momentum yang sama supaya apa sahaja yang telah dirancang dapat dilaksanakan dengan segera,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pembukaan program ‘High Performance Team (HPT) Retreat’ di sebuah hotel terkemuka di Langkawi, Kedah pada Khamis.
Datuk Amar Mohamad Abu Bakar menambah, terdapat isu-isu di lapangan yang tidak diselesaikan dengan segera, dan ia mungkin menimbulkan persepsi negatif terhadap Kerajaan Sarawak.
Oleh itu, beliau menyeru pihak bertanggungjawab agar sentiasa proaktif dalam memastikan situasi berada dalam keadaan terbaik selaras dengan objektif yang diketengahkan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
“Penyampaian perkhidmatan yang cemerlang kepada rakyat adalah aspek paling penting,” tegasnya lagi.
Program selama empat hari itu dihadiri seramai 208 peserta yang terdiri daripada ketua-ketua jabatan serta para pegawai dari setiap agensi, jabatan, badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sarawak.
Antara aktiviti yang diadakan termasuk pembentangan beberapa topik seperti ‘Revisit, Rethink, Recharge to Digital Transformation’, PCDS 2030 dan juga pembentangan hasil lab oleh lapan kumpulan.
Untuk rekod, Premier Sarawak akan turut serta dalam program tersebut pada 17 Disember ini di mana beliau akan memberikan ucaptama serta menyampaikan anugerah-anugerah cemerlang.
Turut hadir ialah Peguam Besar Negeri Sarawak, Dato Sri Talat Mahmood Abdul Rashid, Setiausaha Kewangan Negeri, Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar serta Timbalan-Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datu Dr. Sabariah Putit, Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel dan Datu Buckland Bangik. -Edisi UKAS