Permulaan Kerja KUTS Fasa 1 Libat Pembinaan Depoh ART Rembus

JUMAAT, 16 DISEMBER 2022

KOTA SAMARAHAN: Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) bagi  fasa pertama adalah melibatkan pembinaan depoh Transit Aliran Autonomi (ART) yang terletak di sini iaitu ‘Depoh Rembus’.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz Dato Husain berkata, Depoh Rembus ini juga akan menjadi tapak depoh untuk bas hidrogen KUTS, serta kilang pengeluaran hidrogen SEDC Energy Sdn Bhd.

“Kemudahan lain di depoh ini termasuk kemudahan mengisi bahan bakar hidrogen, landasan ujian, bengkel mekanikal dan infrastruktur, serta bangunan pentadbiran.

“Depoh Rembus dijadualkan mula beroperasi pada suku keempat 2025, serentak dengan pembukaan Fasa 1 perkhidmatan penumpang ART untuk Laluan Biru,”katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis pelancaran KUTS Fasa 1 yang dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di sini pada Jumaat.

Tan Sri Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz menjelas lanjut, projek fasa pertama itu meliputi laluan biru, merah dan hijau.

“Bagi Fasa 1 Projek KUTS – Laluan Biru akan bermula dari Rembus di sini ke Hikmah Exchange di pusat bandar, meliputi jarak sejauh 27.6km, manakala Laluan Merah dari Kuching Sentral ke Pending, meliputi jarak 12.3km dan Laluan Hijau adalah dari Pending ke Damai Central di Santubong, meliputi jarak 30km,”ujarnya lagi.

Beliau memaklumkan juga, perkhidmatan penumpang untuk ART dijadualkan akan diperkenalkan secara berperingkat bermula dari suku keempat 2025.

Sementara itu, dalam majlis ini, telah diserahkan cek pampasan kepada beberapa orang pemilik tanah yang terjejas oleh Projek KUTS kami, khusus untuk pembinaan Depoh Rembus.

Selain itu, turut diadakan pertukaran memorandum persefahaman (MOU) bersama dengan wakil dari institusi pengajian tinggi yang telah menyatakan minat mereka untuk bekerjasama dalam pelbagai bidang.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Prof Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur Sarawak, Ir Aidel Lariwoo, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Malaysia merangkap Ahli Parlimen Samarahan Datuk Rubiah Wang serta dif-dif jemputan yang lain.-Edisi UKAS

add comment