82 Pelajar Terima Insentif Pendidikan Di DUN Tanjong Datu

ISNIN, 19 DISEMBER 2022

LUNDU: Seramai 82 pelajar dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu menerima insentif pendidikan pada Jumaat.

Daripada jumlah itu, 30 orang menerima insentif bantuan ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) manakala 52 orang lagi menerima insentif Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun 2021/2022.

Penyampaian tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan bertempat di Dewan Serbaguna Mahligai Gading Lundu.

Menurut Azizul, insentif berkenaan bertujuan menyuntik semangat anak muda bagi meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dan mencapai kegemilangan dalam bidang yang dipilih.

Dalam kesempatan itu, turut disampaikan sumbangan kepada 32 golongan asnaf termasuk 20 orang kanak-kanak sempena Krismas.

Menurut Azizul, usaha murni seumpama itu akan beliau teruskan pada setiap perayaan bagi membantu penduduk yang kurang berkemampuan di kawasan itu.

“Walaupun sumbangan ini tidak seberapa, tetapi saya harap bantuan ini dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh penerima,” katanya.

Hadir sama di majlis itu ialah Ahli Parlimen Santubong merangkap Menteri di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri, Pegawai Daerah Lundu Gustian Durani, Setiausaha Majlis Daerah Lundu Norashikin Brahim dan Penghulu Ramil Mina. -Edisi UKAS

add comment