ISNIN, 19 DISEMBER 2022
KUALA LUMPUR: Keabsahan sokongan majoriti untuk Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim terbukti setelah satu Usul Undi Percaya terhadap kepimpinan beliau diluluskan di Dewan Rakyat pada Isnin.
Usul tersebut diluluskan menerusi undian suara di mana Speaker Dewan Rakyat, Dato’ Johari Abdul memaklumkan undi lebih suara untuk menyokong Perdana Menteri dicapai setelah selesainya sesi perbahasan yang melibatkan sejumlah 12 Ahli Parlimen dari blok kerajaan dan blok pembangkang.
Terdahulu, usul itu telah dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof.
Antara individu yang melibatkan diri dalam sesi perbahasan ialah Ahli Parlimen Larut, Dato’ Seri Hamzah Zainuddin, Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan serta Ahli Parlimen Pengerang, Dato’ Sri Azalina Othman Said.
Kelulusan usul berkenaan meneruskan hari cemerlang buat Kerajaan Perpaduan pimpinan Dato’ Seri Anwar setelah calon-calon blok kerajaan turut dilantik untuk jawatan Speaker Dewan Rakyat serta Timbalan-Timbalan Speaker Dewan Rakyat pada awal hari Isnin. -Edisi UKAS