SPS Nanga Jagau, Nanga Ngungun dan Nanga Tada Diberi Perhatian Penuh

ISNIN, 19 DISEMBER 2022

KANOWIT: Skim Penempatan Semula (SPS) di Nanga Jagau, Nanga Ngungun dan Nanga Tada diberi perhatian penuh untuk memastikan kawasan tersebut dilengkapi dengan infrastruktur yang lebih komprehensif selain mempertingkatkan sosioekonomi penduduk tempatan.

Demikian menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Anyi Jana dalam ucapannya ketika menghadiri Majlis Makan Malam bersempena dengan sambutan SPS Nanga Tada Ke-50 Tahun bertempat di Dewan Penghulu Seribu, Nanga Tada pada Sabtu.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak telah bersetuju untuk menubuhkan Agensi Pembangunan RASCOM (RASDA) yang meliputi Daerah Kanowit dan Selangau.

Dengan penubuhan RASDA ini, katanya ia pastinya akan merancakan pembangunan di kawasan DUN Ngemah khasnya di tiga kawasan Skim Penempatan Semula (SPS) sedia ada.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) 2023 berjumlah RM20,000 kepada JKKK Induk Nanga Tada, RM20,000 kepada JKKK Induk Nanga Ngungun dan juga RM20,000 kepada JKKK Induk Nanga Jagau.

Geran ini akan disalurkan dalam Fasa 1 2023 bagi memudahkan perancangan program tahunan.

Terdahulu, beliau turut menyerahkan insentif akademik berjumlah RM8,500 kepada 11 orang pelajar iaitu enam pelajar Ijazah Sarjana Muda dan lima pelajar Diploma serta empat penerima sumbangan kerusi roda di Rumah Unting, Sungai Mapai, Kanowit.

Program tersebut dilaksanakan dua dalam satu iaitu pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat (MPBR) dan juga meraikan ADUN Ngemah yang telah banyak turun padang dan membantu penduduk walaupun baru setahun menjadi wakil rakyat. – EDISI UKAS

add comment