Penyertaan Dibuka Untuk Larian Amal ‘Bunny Autism Run 2023’

RABU, 21 DISEMBER 2022

KUCHING: Penyertaan kini dibuka untuk acara larian amal ‘Bunny Autism Run 2023’ anjuran Persatuan Autisme Kuching (KAA) yang bakal berlangsung di foyer Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) pada 30 April 2023.

Menurut KAA, orang awam boleh mendaftarkan diri untuk menyertai mana-mana daripada empat kategori bagi dua jenis acara larian iaitu 3 Kilometer (KM) dan 5 KM.

“Kos penyertaan untuk kategori-kategori tersebut ialah RM50 untuk Kategori A (Pingat, Tee dan Bib), RM35 untuk Kategori B (Tee dan Bib sahaja), RM30 untuk Kategori C (Pingat dan Bib sahaja) serta RM15 untuk Kategori D (Bib sahaja),” jelasnya dalam satu kenyataan media pada Rabu.

KAA menjelaskan, larian amal tersebut merupakan antara usahanya bagi mengumpul dana di samping meningkatkan kesedaran serta penerimaan terhadap komuniti autisme.

“Dengan bantuan sebanyak 30 kakitangan, Pusat Latihan Pendidikan dan Vokasional KAA di Jalan Desa Wira, Batu Kawa kini menyediakan pendidikan dan latihan khas secara individu untuk sejumlah 150 kanak-kanak serta orang dewasa dengan autisme dalam lingkungan umur antara 2 hingga 40 tahun.

“KAA turut mengendalikan ‘Sunshine Hub Sheltered Workshop’ di mana orang dewasa dengan autisme dilatih dalam kemahiran berkebun, kemahiran pengemasan rumah, karya seni dan kraf manik (beadwork) serta kemahiran membakar dan memasak,” ujarnya.

Dalam pada itu katanya, kos operasi tahunan bagi pusat KAA mencecah RM1.2 juta yang mana yuran yang dikutip daripada para pelajar hanya sekitar 30 peratus daripada jumlah yang diperlukan untuk pengoperasian pusat tersebut.

“Pada setiap tahun, KAA perlu mengumpul kira-kira RM750,000 bagi menyediakan perkhidmatan kepada komuniti autisme,” ujarnya lagi.

Ditubuhkan pada tahun 1998 sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tidak berasaskan keuntungan, visi KAA adalah untuk membolehkan kanak-kanak dan juga orang dewasa dengan autisme supaya mencapai potensi sepenuhnya serta menjalani kehidupan yang berguna, berdikari serta produktif dari segi ekonomi.

Orang awam yang berminat menyertai larian amal itu boleh mendaftar secara dalam talian menerusi pautan https://www.ticket2u.com.my/event/29527/bunny-autism-run-2023 ataupun secara fizikal di Pejabat KAA sebelum 30 March 2023.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Odilia Beatrice (010-2636300), Stephanie Goh (016-5791906) atau Pejabat KAA (082-686363). -Edisi UKAS

add comment