Perkembangan Lanjut MA63 Diumum Januari Depan

RABU, 21 DISEMBER 2022

KUCHING: Beberapa perkembangan lanjut mengenai rundingan perkara-perkara di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan diumumkan pada awal Januari depan.

Menurut Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, pengumuman itu akan dibuat berkaitan kemajuan untuk menyelesaikan sebahagian besar daripada isu-isu yang telah dibangkitkan.

Namun jelasnya, perkara-perkara yang melibatkan perundangan dan pindaan undang-undang akan tertangguh sehingga Persidangan Parlimen seterusnya.

“Awal Januari depan, kita akan mengumumkan beberapa kemajuan yang jauh lebih baik untuk menyelesaikan sebahagian besar daripada isu-isu yang dibangkitkan.

“Terdapat hal-hal lain yang terpaksa ditangguhkan sehingga Persidangan Parlimen terutamanya melibatkan perundangan dan pindaan undang-undang. Tetapi, beberapa isu besar dapat kita luluskan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di Putrajaya pada Rabu.

Dato’ Seri Anwar menambah, mesyuarat kabinet berkenaan telah memutuskan agar kuasa kawal sedia bekalan gas di kawasan Sabah yang dahulunya di bawah bidang kuasa Petronas di peringkat Persekutuan kini dipindahkan kepada Kerajaan Negeri Sabah.

“Ini telah berlaku untuk Sarawak, dan sekarang ia juga dilakukan untuk Sabah.

“Tentunya, tarikh pelaksanaan perkara tersebut menunggu perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Tetapi, kelulusan daripada Jemaah Menteri telahpun diperakui hari ini,” ujarnya lagi. -Edisi UKAS

add comment