RABU, 21 DISEMBER 2022
KAPIT: Program Mari Mencuba Sukan Muaythai yang diadakan pada Isnin, 19 Disember lepas di Kapit berjaya mencapai objektif dalam memberi pendedahan kepada belia di bahagian itu.
Program itu dianjurkan oleh Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) dengan kerjasama Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Majlis Pengakap Daerah Kapit bertempat di Dewan Suarah Kapit.
Ia berjaya menarik minat kira-kira 50 golongan belia dan kanak-kanak di Kapit yang ingin menceburi sukan tempur semakin digemari itu.
Sesi mencuba itu dilaksanakan oleh beberapa jurulatih serta pegawai muaythai bertauliah yang dibawa khas dari Kuching dan Samarahan.
Turut serta seramai 10 petinju lelaki dan wanita yang melakukan demonstrasi perlawanan dan persembahan muaythai kepada bakal-bakal petinju yang hadir bersama dengan ibu bapa masing-masing.
Semasa sesi percubaan, beberapa belia yang mengambil bahagian menunjukkan potensi besar dalam sukan tersebut.
Presiden PMNS Haji Jumaat Ibrahim dalam ucapan penutupan menegaskan sukan muaythai merupakan seni mempertahankan diri yang menuntut disiplin dan ia merupakan aktiviti sihat yang amat digalakkan untuk dipelajari.
Bagaimanapun, beliau turut mengingatkan golongan belia untuk tidak menyalahgunakan kemahiran yang mereka miliki.
“Muaythai untuk mempertahankan diri, bukan untuk digunakan bergaduh dengan orang lain.
“Selain itu, dengan mempelajari muaythai juga menggalakkan kita mengamalkan gaya hidup sihat secara bersukan selain menjadi platform untuk mengeratkan hubungan dengan rakan-rakan baru,” katanya.
Beliau dalam pada itu merakamkan penghargaan kepada semua pihak khususnya Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Kementerian Belia dan Sukan Sarawak (KBSS), SSC, Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) dan Majlis Pengakap Daerah Kapit yang membantu menjayakan jerayawara itu.
Harapan beliau agar Kapit dapat melahirkan atlet muaythai yang berpotensi mengharumkan nama Sarawak dan Malaysia di pentas dunia satu hari kelak.
Jumaat kemudiannya menyampaikan sijil kepada para peserta yang mengambil bahagian.
Turut hadir Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sarawak Kapten Zainuddin Tan Sri Hamdan, Setiausaha Eksekutif Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Sarawak Zasran Abdullah, Pegawai Pembangunan Sukan muaythai SSC Alexander Sirai serta jurulatih PMNS dan MSNS Mohd Azan dan Zulkeplie Abd Rahman. – EDISI UKAS