RABU, 21 DISEMBER 2022
KUCHING: Sarawak perlu melahirkan lebih ramai tenaga pakar tempatan khususnya dalam bidang sains dan kejuruteraan selaras dengan matlamat Kerajaan ke arah ekonomi baharu.
Menurut Timbalan Premier Sarawak Dato’ Sri Professor Dr. Sim Kui Hian, bilangan graduan yang mengambil bidang berkenaan adalah semakin berkurangan di negeri ini.
Katanya, kepakaran itu adalah pemain utama dalam merealisasikan wawasan Sarawak untuk mencapai ekonomi maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.
“Sekiranya tahun depan kita memulakan hidrogen, kita memerlukan kira-kira 1,500 jurutera kimia, kita mesti mempunyai seseorang yang belajar dalam jurutera kimia. Jika tidak, di mana kita perlu mencari mereka.
“Kita juga memerlukan pakar dalam biokimia sekiranya kita mendapat persetujuan Kerajaan Persekutuan untuk kita membina hospital kanser di sini.
“Jadi bukan sahaja ahli petrokimia, kita juga memerlukan ahli biokimia. Semua kepakaran dalam bidang kimia ini sangat penting,” katanya berucap dalam Majlis Makan Malam Institut Kimia Malaysia (IKM) Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching pada Selasa.
Justeru ujar Dato’ Sri Professor Dr. Sim lagi, setiap rakyat di negeri ini perlu memainkan peranan mereka masing-masing bagi membantu kerajaan membentuk menjadi negeri yang maju.
Dalam majlis makan malam itu, Dato’ Sri Professor Dr. Sim turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada IKM Sarawak bagi melaksanakan Karnival Kimia Malaysia (K2M) tahun hadapan.
Hadir sama ialah Pengerusi IKM Sarawak Dr John Chan dan Presiden IKM Sarawak Datuk Dr. Soon Ting Kueh.-Edisi UKAS