KHAMIS, 22 DISEMBER 2022
MIRI: Satu kemalangan maut telah berlaku di Jalan Pan Borneo berhampiran Kampung Suai melibatkan dua buah kenderaan.
Menurut Ketua Polis Daerah Miri Alexson Naga Chabu, pihaknya mengesahkan telah menerima laporan berkenaan kemalangan tersebut.
Katanya, hasil siasatan mendapati kemalangan tersebut berlaku pada jam lebih kurang 12:50 tengah hari melibatkan dua buah kenderaan iaitu kenderaan jenis Toyota Hilux dan Isuzu D-Max dari arah bertentangan.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kenderaan Toyota Hilux telah hilang kawalan dan telah memasuki laluan bertentangan seterusnya bertembung dengan kenderaan jenis Isuzu D-Max,” katanya menerusi kenyataan media Rabu.
Jelas Alexson lagi, susulan perlanggaran tersebut mengakibatkan tiga orang penumpang yang berada di dalam kenderaan Toyota Hilux telah meninggal dunia manakala pemandu dan seorang lagi penumpang mengalami kecederaan patah tangan dan kecederaan ringan.
Turut disahkan meninggal dunia ialah seorang penumpang kenderaan Isuzu D-Max manakala pemandu dan seorang lagi penumpang kenderaan tersebut mengalami kecederaan parah.
Secara keseluruhannya, jumlah mangsa yang maut dalam kemalangan ini adalah empat orang.
Ujarnya lagi, satu kertas siasatan dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -EDISI UKAS