Kerajaan Persekutuan Akan Umum Perkembangan Berkaitan MA63 4 Januari Depan

SABTU, 24 DISEMBER 2022

KUCHING: Kerajaan Persekutuan akan mengumumkan perkara-perkara berkaitan perkembangan Perjanjian Malaysia (MA63) melibatkan Sabah dan Sarawak pada 4 Januari nanti.

Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof berkata, ia akan diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim selepas Kabinet mengadakan perbincangan menyeluruh pada tarikh tersebut.

Menurutnya, beliau sudah memanggil Jawatankuasa Teknikal MA63 di bawah Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Armizan Mohd Ali untuk meneliti dan memuktamadkan beberapa perkara yang telah dirancang semasa pemerintahan kerajaan terdahulu, terutama yang telah dipersetujui.

“Menerusi MA63 ini terdapat tiga perkara secara keseluruhan. Satu daripadanya telah diselesaikan iaitu penurunan kuasa kepada agensi seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Yang kedua adalah perkara-perkara yang kita telah bincangkan dan sudah mendapat keputusan dasar, satu lagi masih dalam perbincangan dan belum mendapat keputusan dasar. Manakala, perkara yang ketiga ialah perkara di luar bidang MA63 tetapi dipohon dan diminta oleh Sabah serta Sarawak. Ini adalah perkara yang sudah dikenal pasti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program Penyerahan Biskut Krismas bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Datuk Ibrahim Baki di Thompson Corner, Jalan Nanas, di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu tambahnya, terdapat juga beberapa perkara berkaitan MA63 yang memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan akan mengambil masa untuk diselesaikan.-EDISI UKAS

add comment