Dato’ Idris Buang Lawat Dua PPS Kota Samarahan, Hulur Sumbangan Mangsa Banjir

AHAD, 25 DISEMBER 2022

KOTA SAMARAHAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato’ Idris Buang telah melawat ke dua lokasi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang baru dibuka di kawasannya, iaitu Dewan Kampung Melayu dan Sekolah Kebangsaan (SK) Endap di sini pada Jumaat.

Beliau mengambil maklum mengenai keadaan dan jumlah mangsa terkini yang ditempatkan di PPS tersebut menerusi taklimat yang disampaikan pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Samarahan.

Setakat ini, sebanyak tujuh buah keluarga membabitkan 20 mangsa banjir dari Kampung Melayu, Kampung Endap dan Kampung Betong Kanowit telah dipindahkan di kedua-dua PPS berkenaan.

Dato’ Idris dalam pada itu turut menghulurkan sumbangan makanan, barangan keperluan dan wang kepada mangsa-mangsa banjir.

Di kesempatan itu juga, beliau mengucapkan terima kasih kepada agensi-agensi lain yang terlibat seperti Pejabat Daerah Samarahan, Polis diRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kebajikan Masyarakat termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang telah bertungkus-lumus membantu mangsa banjir di samping memastikan keselamatan dan kebajikan mereka terjaga. -Edisi UKAS

add comment