AHAD, 25 DISEMBER 2022
KUCHING: Formula semakan pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan sedang dibincangkan dan dipertimbangkan di peringkat Kerajaan Perpaduan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, formula yang diberikan oleh Sarawak adalah adil kepada kedua-dua Kerajaan Sarawak serta Kerajaan Perpaduan.
“Kita telah berbincang dan memberikan kepada Timbalan Perdana Menteri Dato’ Sri Fadillah Yusof perkara-perkara yang harus kita beri balik kepada negeri Sarawak.
“Antaranya ialah Perkara 112 D dimana kita mempunyai fomula dan saya difahamkan oleh Dato Sri Fadillah, ia sedang dibincangkan walaupun nampaknya mereka mempunyai formula mereka sendiri tetapi kita berpegang teguh dengan formula kita kerana ia lebih adil kepada Sarawak dan juga kepada Kerajaan Persekutuan,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas bersama isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang di sini pada Ahad.
Justeru beliau berharap Kerajaan Perpaduan memahami rasional formula yang dikemukakan oleh Kerajaan Sarawak.
“Harapan saya ialah supaya mereka dapat memahami rasional formula kita yang saya nampak adalah adil kepada Kerajaan Pusat dan juga kerajaan kita berlandaskan kepada hasil yang didapati oleh Kerajaan Perpaduan daripada Negeri Sarawak,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari juga berkesempatan mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada masyarakat Kristian di negeri ini.
Beliau berharap, Sarawak akan sentiasa makmur walaupun mempunyai masyarakat yang berbilang kaum dan agama.
Majlis turut dihadiri oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta isteri, Timbalan Menteri Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok Dato’ Ibrahim Baki.-Edisi UKAS