SELASA, 27 DISEMBER 2022
SARIKEI: “Sememangnya tidak dapat dipertikaikan lagi para wanita sememangnya amat penting dalam memastikan keberlangsungan hidup bak kata pepatah ‘tangan yang mengayun buaian dapat mengoncang dunia’, yang juga merupakan tunjang utama kepada kekuatan para barisan hadapan kita semua.
“Secara peribadinya saya merasakan hatta jutaan ringgit pun tidak mampu membalas jasa dan pengorbanan seorang wanita di dunia ini,” ujar Ahli Parlimen Tanjong Manis Ir Yusuf Abdul Wahab dalam ucapannya semasa Majlis Kesyukuran Dan Aspirasi Gabungan Wanita PPWS Daerah Sarikei di Dewan Serbaguna Kampung Seberang Sarikei pada Isnin.
Menurutnya, jika kita lihat dari sudut sejarah peranan wanita di Malaysia, kaum wanita adalah terhad kepada peranan pembantu (supporting role) kepada kaum lelaki dan ini dapat dilihat daripada jenis-jenis tugas yang mereka lakukan untuk membantu suami mereka.
Manakala dari sudut ekonomi pula, wanita telah memainkan peranan yang besar dalam aktiviti ekonomi dunia dan sesebuah negara melalui peranannya yang produktif dan reproduktif.
“Penglibatan wanita dalam ekonomi telah meningkat tidak hanya pada emansipasi (pembebasan dari prasangka dan kongkongan) malah mengambil berat akan keperluan ekonomi.
“Malangnya kebanyakan penglibatan wanita dalam ekonomi masih di bawah nilai sebenar, kerana pekerjaan wanita tidak mudah diukur dari pengumpulan data secara sistem tradisional.
“Sebagai kesimpulannya peranan kaum wanita amatlah besar dalam sama-sama berganding bahu dengan kaum lelaki dalam pembangunan negara,” tambahnya.
Turut hadir Pengerusi PPWS Daerah Sarikei Daramata’Siah Jidi, Ketua-ketua Kaum dan Ahli PPWS Daerah Sarikei.
Tegas Yusuf lagi, pembangunan sesebuah negara itu bukanlah hanya semata-mata merujuk pada pembangunan ekonomi tetapi meliputi pembangunan dari segi sosial, sahsiah dan perpaduan ummah.
Untuk itu, pembangunan dari unsur-unsur yang melibatkan faktor-faktor sosial memerlukan tindakan dan perjuangan yang lebih berani dari kaum wanita.
“Sememangnya perbezaan fizikal wanita akan menyebabkan perbezaan tugas dan tanggungjawab dari pandangan umum.
“Justeru itu untuk menampilkan imej wanita sebagai berketerampilan selain memiliki ilmu, wanita juga hendaklah memiliki sifat ketakwaan.
“Melalui ilmu, seorang wanita mampu mempertingkatkan kualiti diri sebagai wanita mithali yang dapat menyumbangkan kearah pembangunan negara.”
Sebagai bukti katanya, di negara ini tidak kurang ramainya di kalangan pemimpin masyarakat, pengurus dan pengarah syarikat, ahli politik dan penggubal undang-undang adalah terdiri dari kaum wanita.
Sementara itu ketakwaan menjadikan wanita itu mantap, memiliki ketahanan diri yang kuat dengan erti kata keimanan menjadi benteng menahan arus cabaran yang mendatang.
Jelasnya lagi, di negara ini, golongan wanita bertuah kerana keputusan dan dasar kerajaan banyak menyebelahi wanita sehingga membantu mereka melangkah lebih jauh.
“Banyak dasar kerajaan membawa wanita seiring dalam arus pembangunan semasa dan wanita Malaysia boleh disifatkan sebagai cekal dan mampu memikul pelbagai tanggungjawab dalam satu masa.
“Kecekalan inilah yang banyak membantu mereka untuk pergi lebih jauh terutama kerana memikirkan peranan mereka terhadap keluarga dan anak-anak sehingga menjadikan mereka lebih kuat.” – EDISI UKAS