Kejuaraan Silat Kebangsaan Ke 20: Sarawak Raih Lapan Pingat

RABU, 28 DISEMBER 2022

KUCHING: Pasukan Pencak Silat Sarawak meraih lapan pingat dalam Kejuaraan Silat Kebangsaan yang berlangsung di Kompleks Sukan EduCity, Johor Bahru pada 19 hingga 23 Disember lepas.

Kejuaraan edisi ke-20 yang diadakan selama lima hari itu menyaksikan atlet merangkul dua pingat emas, dua perak dan empat gangsa.

Menurut Pengurus Pasukannya Jordan Iskandar Shamshudin, pingat emas berjaya dimenangi Muhd Amizul Azmi dan Zulaika Razaman menerusi Kategori Tanding Kelas A Putra dan C Puteri.

Katanya, kejayaan membanggakan itu secara tidak langsung memberi peluang kepada kedua-dua atlet berkenaan diserap masuk ke dalam pasukan kebangsaan.

Sementara itu tambah beliau, pingat perak dimenangi Mohd Azrie Tiong menerusi Kategori Bebas 1 Putra dan Nazryen Shah Bebas 2 Putra.

Bagi pingat gangsa pula telah diraih Zureen Zulaika dan Mohd Shamiezal menerusi kategori Tunggal Puteri dan Solo Kreatif manakala Muhamad Hisyam dan Raveena Jeno dalam kategori Tanding Kelas J Putra dan Kelas E Putri.

Jordan yang dihubungi UKAS baru-baru ini memberitahu, seramai 21 atlet silat Sarawak telah menyertai kejohanan tersebut dengan lapan pegawai pengiring termasuk jurulatih. -Edisi UKAS

add comment