Datuk Ding Hargai Sokongan Pengundi DUN Meradong

JUMAAT, 30 DISEMBER 2022

BINTANGOR: Sokongan padu pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong semasa Pilihan Raya Umum (PRU-15) amat dihargai wakil rakyatnya, Datuk Ding Kuong Hiing.

Menurut Datuk Ding, mandat diberikan rakyat di situ membolehkan ADUN Repok Dato Sri Huang Tiong Sii memenangi kerusi parlimen Sarikei sekali gus dilantik sebagai Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Malah katanya, beliau dan Dato Sri Huang bersama berganding bahu membawa pembangunan infrastruktur dalam masa lima tahun ini di kawasan Sarikei.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ringkas pada Program Perasmian Biro Wanita Rumah Ngipa, Sungai Buloh Bintangor pada Jumaat.

Katanya, sejak dilantik sebagai ADUN Meradong bermula 2016, beliau telah melaksanakan pelbagai projek di rumah panjang sekitar kawasan DUN Meradong.

Ia dilaksanakan melalui dana sumbangan Kerajaan Sarawak yang diluluskan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Dalam pada itu, Datuk Ding berkata beliau sangat menyokong penubuhan Biro Wanita itu kerana ia mampu memberi kerjasama kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keelamatan Kampung (JKKK) Rumah Panjang dalam mengadakan aktiviti dan program setiap tahun.

Di akhir program, Datuk Ding mengumumkan sumbangan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM5,000 kepada Biro Wanita Rumah Ngipa, Sungai Buloh Bintangor untuk kegunaan menganjurkan aktiviti tahunan. – EDISI UKAS

add comment