JUMAAT, 30 DISEMBER 2022
MIRI: Kehidupan dalam kepelbagaian kaum dan agama di Sarawak sangat unik apabila bukan sahaja meraikan perayaan secara bersama, tetapi juga mempunyai ahli-ahli keluarga yang berbilang kaum dan agama.
Menurut Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, suasana ini adalah perkara biasa di negeri ini dan mereka hidup dalam keadaan bertolak ansur.
“Di Sarawak, bukan sahaja kepada kaum Melanau banyak kaum kita mempunyai ahli keluarga ataupun saudara mara yang berilang kaum dan agama. Ini perkara biasa bagi masyarakat di Sarawak. Di mana dalam satu keluarga terdapatnya Muslim, Kristian, Budha dan Hindu.
“Jadi, adalah penting bagi pemimpin-pemimpin kita faham budaya kita di sini.
“Sarawak adalah berlainan dan jangan menganggap Sarawak ini seperti di Semenanjung,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Hari Krismas Persatuan Melanau Miri 2022 di Wisma Melanau Miri di sini pada Khamis.
Tegasnya lagi, inilah keunikan kaum yang ada di Sarawak di mana ia tidak dapat dilihat di negeri-negeri lain di Malaysia.
Mengulas lanjut, Dato Sri Lee memberitahu Kerajaan Sarawak sentiasa menitikberatkan perpaduan dan keharmonian kaum di negeri ini dalam memastikan masyarakat hidup aman selain berusaha meningkatkan ekonomi negeri.
“Sebab itulah, Kerajaan Sarawak memberi perhatian berat ke atas perpaduan dan keharmonian, dan bukan sahaja antara kaum dan pelbagai agama.
“Malah, Premier Sarawak baru-baru ini dalam ucapan Krismasnya menegaskan Sarawak tidak akan membenarkan mereka yang ekstrem agama datang ke negeri ini,” ujarnya.
Hadir sama Datuk Bandar, Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Adam Yii Siew Sang, Penasihat Persatuan Melanau Miri Dato Alexander Maiyor, Dato Temenggong Abdul Rahman Fadzail, Presiden Rurum Kelabit Sarawak (RKS) Dato Dr. Philip Raja, Presiden Persatuan Melanau Miri Kaunselor Abdullah Jaini, Pengerusi Pengelora merangkap Timbalan Presiden Persatuan Melanau Miri Alexius Nayang Munan, Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf, Pemangku Setiausaha Majlis Bandaraya Miri (MBM) Abdul Rahman Taupek dan Temenggong Yong Vui Seng.-EDISI UKAS