SABTU, 31 DISEMBER 2022
SARIKEI: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah mengubah Sarikei menjadi bahagian negeri di Sarawak yang semakin pesat membangun.
Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata ini boleh dilihat melalui pelbagai projek berimpak tinggi di Sarikei yang telah diluluskan oleh Premier Sarawak.
Katanya, projek-projek seperti Jalan Pasi ke Tanjong Manis, Taman Agro, Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) pasti akan melonjakkan Sarikei ke arah kemakmuran dan membawa kesejahteraan kepada rakyat di kawasan itu.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Persembahan Perayaan Tahun Baharu 2023 di Dewan Sentral Sarikei pada Jumaat.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok menyeru rakyat di situ agar terus memberi sokongan padu kepada Kerajaan GPS kerana ia mampu meneruskan pembangunan pesat di Sarawak.
“Kita haruslah bersyukur dan berterima kasih kepada Premier Sarawak yang berpandangan jauh sebagai satu penghargaan kepada beliau membantu membangunkan Sarikei sebagai sebuah negeri yang berpendapatan tinggi pada masa depan,” katanya.
Dato’ Sri Huang turut mengucapkan terima kasih kepada semua hadirin kerana memberikan kerjasama dan sokongan yang padu kepada beliau pada Pilihan Raya Umum (PRU Ke-15) yang lepas hingga membolehkan beliau dilantik sebagai Ahli Parlimen Sarikei.
Bagi membantu rakyat di situ, beliau berikrar akan terus berusaha sedaya upaya membangunkan pendidikan di kawasan Repok melalui peruntukan daripada kerajaan Sarawak selain membekal bantuan bahan persekolahan setiap tahun kepada semua pelajar di situ.
Katanya, mana-mana penduduk di Sarikei yang memerlukan bantuan dan sumbangan boleh mengajukan permohonan di pejabat pusat khidmat beliau di Sarikei dan Meradong. – EDISI UKAS