Jadikan Rumah Panjang Sebagai Inap Desa, Kekalkan Keaslian & Kebudayaan

ISNIN, 2 JANUARI 2023

KUCHING: Keaslian dan kebudayaan rumah panjang di Sarawak dapat dikekalkan dengan menjadikannya sebagai inap desa.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato Sri Tiong King Sing berkata, ia membolehkan rumah panjang menjadi projek pelancongan yang lebih berdaya saing.

“Matlamat yang ingin dicapai ini akan memberi fokus untuk mengenal pasti rumah panjang yang sesuai dijadikan sebagai inap desa.

“Justeru itu, inap desa perlu dinaik taraf agar dapat menyediakan perkhidmatan berkualiti seterusnya memberikan keunikan serta pengalaman berharga buat pelancong,” katanya dalam satu catatan di Facebook pada Sabtu.

Dalam hal ini katanya, aspek seperti kebersihan, keselamatan dan kemudahan perlu berada pada tahap terbaik agar pelancong mendapat pengalaman penginapan yang hebat dan menyeronokkan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bintulu menambah, rumah panjang juga harus mengatur program kebudayaan yang sewajarnya sepanjang tempoh penginapan pelancong.

“Ini termasuk persembahan tarian rakyat, masakan, upacara tradisional dan sebagainya.

“Dalam mengharungi bidang pelancongan yang semakin sengit dan mencabar pada masa kini, kita seharusnya menyajikan sesuatu yang istimewa buat para pelancong,” ujarnya lagi.

Dato Sri Tiong menambah, ia penting untuk mengelakkan pelancong merasakan bahawa mereka hanya sekadar ‘singgah sementara’ di sesebuah lokasi pelancongan.

“Malah, kita mahu mereka benar-benar berintegrasi dalam kehidupan masyarakat tempatan,” katanya. -Edisi UKAS

add comment